Tuesday, August 5, 2014

Vivian-Khe Wei Raih Pingat Emas Beregu Wanita Di Glasgow




GLASGOW, 3 Ogos (Bernama) -- Beregu wanita negara Vivian Khoo-Woon Khe Wei menamatkan kempen Sukan Komanwel ke-20 dengan penuh bergaya apabila meraih pingat emas Sukan Komanwel di Emirates Arena pada Ahad.

Pada perlawanan penuh dramatik itu Vivian-Khe Wei berjaya meranapkan peluang Jwala Gutta-Ashwini Ponnanppa dari India dengan keputusan 21-17 dan pada set pertama.

Kemenangan itu menyuntik semangat pasangan negara untuk mengagalkan peluang Jwala-Ashwini dalam pertembungan sengit 23-21 pada set kedua perlawanan dalam masa 41 minit.

Pingat gangsa diraih pasangan England, Gabriel Adcock-Lauren Smith selepas menewaskan pasangan negara Lim Pei Jing-Lim Yin Loo 16-21, 21-15 dan 21-16 pada Sabtu.

Vivian berkata kerja keras serta rajin membuat analisis aksi perlawanan pihak lawan mendorong kejayaan mereka itu.

"Kami sangat gembira dengan kemenangan ini. Kejayaan ini sangat bermakna. Pingat emas ini juga dihadiahkan untuk seluruh rakyat Malaysia terutamanya kita kini sedang bersedih dengan tragedi MH17.

"Kami memang lebih yakin dan bersemangat daripada set pertama lagi dan hanya mahu fokus untuk menang sahaja yang penting jangan letak tekanan pada diri sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari Ahad.

Kejayaan mereka itu merupakan pingat emas kelima buat kontinjen negara iaitu penambahan daripada kejayaan atlet angkat berat, Mohd. Hafifi Mansor disusuli Datuk Nicol Ann David (acara perseorangan skuasy), badminton berpasukan campuran serta atlet terjun negara, Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal individu lelaki.

Beregu lelaki negara Tan Wee Kiong-Goh V Shem kini sedang bertarung dengan Danny Chrisnanta-Chayut Triyachart dari Singapura dalam satu lagi perlawanan penentuan pingat emas.

Daripada Nursyabiha Sukri -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment