Tuesday, August 5, 2014

Wee Kiong-V Shem Pertahan Tradisi, Menang Pingat Emas Beregu Lelaki Di Glasgow


GLASGOW, 3 Ogos (Bernama) -- Beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem berjaya mengekalkan tradisi dengan mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel di Glasgow, pada Ahad.

Pada perlawanan final, Wee Kiong-V Shem bermula baik dengan mendahului 1-0 pada set pertama dengan 21-12 menewaskan Danny Chrisnanta-Chayut Triyachart dari Singapura pada set pertama.

Namun, Danny-Chayut menyamakan kedudukan 1-1 apabila memberi tekanan kepada Wee Kiong-V Shem dengan keputusan 21-12.

Babak penentuan menyaksikan Wee Kiong dan V Shem tampil lebih agresif untuk menghabiskan pencabar mereka itu dengan keputusan 21-15 pada perlawanan yang berlangsung di Emirates Arena di sini.

Bagi Wee Kiong beliau berpuas hati gandingan bersama V Shem masih mampu untuk mempertahankan pingat emas dalam acara beregu lelaki sejak tahun 1990 iaitu menerusi Jalani Sidek-Razif Sidek.

Cheah Soon Kit-Soon Beng Kiang meraih pingat emas pada 1994, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah (1998), Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002), Chan Chong Ming-Koo Kien Keat (2006) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2010).

"Kami sangat berpuas hati dengan kemenangan ini. Lebih mengembirakan lagi apabila kami masih boleh mengekalkan tradisi negara dalam acara beregu di Sukan Komanwel.

"Saya harap prestasi cemerlang saya ini berkekalan sehingga aksi Kejohanan Dunia BWF di Denmark pada hujung bulan ini," kata Wee Kiong kepada pemberita di sini hari Ahad.

Pingat gangsa dimenangi Chris Langridge-Peter Mills dari England selepas menewaskan rakan sepasukan mereka Chris Adcock-Andrew Ellis dengan 21-17 dan 21-17 pada perlawanan penentuan pingat gangsa semalam.

Daripada Nursyabiha Sukri -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment