Tuesday, August 5, 2014

Tze Liang Tuai Pingat Emas Tidak Dijangka Kepada Malaysia


EDINBURGH, 1 Ogos (Bernama) -- Atlet terjun negara, Ooi Tze Liang memberi keceriaan kepada kontinjen negara apabila berjaya menuai pingat emas keempat Malaysia pada temasya Sukan Komanwel ke-20 di sini, pada Khamis.

Dalam acara akhir 3m papan anjal lelaki yang berlangsung di Kolam Renang Royal Commonwealth, penerjun berusia 20 tahun dari Pulau Pinang itu berjaya mengumpul 457.60 mata untuk meraih pingat emas.

Ketinggalan 7.90 mata di belakang beliau ialah pemenang pingat emas acara 1m papan anjal, Jack Laugher dari England dengan 449.70 mata dan pingat gangsa menjadi milik rakan senegaranya Oliver Dingley dengan 425.20 mata.

"Saya sangat berpuas hati sebab dapat meraih pingat emas seperti yang saya sasarkan. Saya akui memang ada tekanan semasa bersaing di sini tetapi saya anggap pertandingan akhir ini sama seperti semasa dalam latihan dan saya jadi lebih tenang dan fokus.

"Akhirnya saya dapat buktikan kepada rakyat Malaysia, segala usaha saya selama ini berjaya menghasilkan pingat emas pada Sukan Komanwel," katanya.

Menurut Tze Liang, selepas menamatkan saingan peringkat saringan di tempat kedua pada sebelah pagi, beliau merasa yakin untuk beraksi dengan baik dan meraih pingat.

"Daripada situ, saya fikir secara positif untuk membuat yang terbaik pada peringkat akhir," kata atlet yang diperkenalkan dengan sukan terjun oleh bapanya sejak berusia lapan tahun.

Beliau akan bergandingan dengan Ahmad Amsyar Azman dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki esok.

"Berdasarkan prestasi kedua-dua kami hari ini, saya yakin kami akan memberikan saingan terbaik," kata Tze Liang, yang memenangi pingat perak Sukan Asia acara 3m papan anjal seirama bersama-sama Bryan Nickson Lomas di Guangzhou empat tahun lepas.

Daripada Farhanah Azmi -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment