Monday, July 7, 2014

Rekod 20 Tahun Pingat Emas Badminton Mungkin Terjejas Di Sukan Komanwel


KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Penguasaan Malaysia dalam acara badminton perseorangan lelaki dalam temasya Sukan Komanwel selama dua dekad mungkin terjejas dengan ketiadaan Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2014.

Ketua jurulatih negara Rashid Sidek berkata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum membuat keputusan pengganti Chong Wei pada temasya itu di Glasgow, Scotland, bermula 23 Julai ini.

Tonggak utama negara, Chong Wei terpaksa menarik diri daripada Sukan Komanwel kali ini berikutan kecederaan pangkal peha selepas beraksi pada Kejohanan Terbuka Indonesia, bulan lepas.

"Jurulatih hanya boleh memberikan cadangan tetapi keputusan akan dibuat oleh presiden (Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff) dan ahli exco BAM," katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Rashid berkata ketiadaan pemain nombor satu dunia itu juga menjejaskan sasaran pingat emas bagi acara berpasukan.

"Kecederaan Chong Wei tidak serius sangat...jika beliau mahu beraksi ia akan menjejaskan kecederaan itu untuk jangka masa panjang. Doktor (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz) telah menasihatkan supaya Chong Wei tidak menyertai Sukan Komanwel tahun ini.

"Chong Wei ada dua lagi kejohanan besar selepas ini iaitu Kejohanan Dunia di Denmark pada 25-31 Ogos ini dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini, jadi beliau perlu memikirkan kejohanan yang lebih penting," katanya.

Untuk rekod pemain perseorangan negara cemerlang dengan pencapaian pingat emas selama 10 tahun berturut-turut iaitu menerusi Rashid pada edisi 1990 dan 1994, Wong Choo Hann (1998), Hafiz Hashim (2002) dan Chong Wei pada edisi 2006 dan 2010.

Pemain perseorangan pertama menyumbang pingat emas ialah Tan Aik Huang pada tahun 1966 dan mendiang Datuk Punch Gunalan pada tahun 1974.

Dalam perkembangan lain, Rashid berkata beliau kemungkinan tidak akan mengiringi skuad negara ke Scotland berikutan masalah peribadi.

"Ia belum pasti lagi tetapi bukan sebab Chong Wei. Sebelum pemain berlepas ke Scotland saya akan beritahu keputusan saya sama ada pergi atau tidak," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment