Monday, July 7, 2014

MOM Umum Pengganti Pembawa Bendera Jalur Gemilang Di Sukan Komanwel, Isnin Ini

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Calon atlet yang akan menggantikan Datuk Lee Chong Wei sebagai pembawa bendera Jalur Gemilang di temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, akan diketahui Isnin ini.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata pihaknya masih menunggu maklumat rasmi daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kita belum lagi buat keputusan dan masih lagi menunggu makluman rasmi daripada MSN dan ISN mengenai status Chong Wei.

"Kita mempunyai atlet lain seperti Azizulhasni Awang dan Josiah Ng daripada sukan berbasikal sebagai pengganti Chong Wei, kalau sudah ada nama pengganti, kita akan umumkan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Media tempatan hari ini melaporkan Chong Wei terpaksa menarik diri daripada Sukan Komanwel, yang bermula 23 Julai hingga 3 Ogos ini, berikutan kecederaan pangkal peha ketika beraksi pada Kejohanan Terbuka Indonesia, bulan lepas.

Selain Chong Wei, buat julung kali dalam Sukan Komanwel, ratu skuasy negara Datuk Nicol David diberikan pengiktirafan sebagai ketua pembawa masuk bendera negara-negara rantau Asia pada temasya itu.

Sebanyak 179 atlet dan 90 pegawai daripada 16 jenis sukan akan menyertai Sukan Komanwel kali ini.

Sieh berkata pasukan boling padang merupakan atlet terawal berlepas ke Glasgow iaitu pada Isnin ini manakala atlet lain akan bertolak pada 18 dan 19 Julai ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment