Monday, July 7, 2014

Judo Sasar Satu Pingat Gangsa Pada Penampilan Sulung Di Sukan Komanwel 2014

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Persekutuan Judo Malaysia (MJF) menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat gangsa daripada tiga atlet yang menggalas cabaran negara pada temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, bermula 23 Julai ini.

Setiausaha Eksekutifnya I. Mariapan berkata walaupun skuad negara membuat penampilan sulung pada temasya berkenaan namun beliau yakin mereka mampu memenuhi sasaran tersebut.

"Kita tidak mahu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi sehingga membebankan atlet memandangkan ini adalah kali pertama Malaysia menghantar wakil menyertai acara itu.

"Biarlah atlet negara menyesuaikan diri terlebih dahulu di sana dan bagi saya, tidak mustahil jika mereka mampu memperoleh keputusan yang lebih menarik," katanya kepada Bernama, hari Jumaat.

Mariapan berkata pihaknya akan menghantar seorang jurulatih dan tiga atlet pada temasya berkenaan.

Tiga atlet berkenaan ialah Muhammad Ruzaini Abd Razak, 19, Mohd Farhan Uzair Fikri, 18 dan Nik Norlydiawati Nik Azman, 19.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Othman Mohd Nizam Yeo berkata mereka kini berada pada latihan pusat fasa akhir dan percaya ketiga-tiga atlet berkenaan mampu mempamerkan persembahan positif.

Walaupun bulan puasa, katanya latihan dijalankan seperti biasa di pusat latihan atlet judo negara di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor di Johor.

"Sekarang kita masih lagi menjalani latihan seperti biasa menerusi dua sesi iaitu sesi petang bermula pukul 4 hingga 6.30 petang manakala sesi malam daripada pukul 9 hingga 11.30 malam.

"Bulan puasa atau tidak, kita tetap akan menjalani latihan untuk memastikan tahap mental dan fizikal atlet kita berada pada tahap terbaik," kata Othman yang juga Pengerusi Kejurulatihan FJM.

Sebelum ini, sukan judo pernah dipertandingkan di Sukan Komanwel edisi 1990 di Auckland, New Zealand dan edisi 2002 di Manchester, England.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment