Wednesday, July 9, 2014

MSN, MOM tentu sasaran pingat

Khairy Jamaludin (kiri) melayan wartawan semasa Majlis Berbuka Puasa SAM di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.
 
KUALA LUMPUR - Sukan Komanwel Glasgow 2014 bakal bermula tidak lama lagi namun masih belum ada sasaran pingat yang disasarkan kepada atlet untuk dicapai dalam temasya sukan dunia itu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata dia akan memberi laluan sepenuhnya kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memberi sasaran pingat yang perlu dipenuhi oleh atlet memandangkan temasya itu melibatkan pelbagai jenis sukan.

"Sasaran pingat untuk Sukan Komanwel di Glasgow yang akan bermula tidak lama lagi akan saya serahkan sepenuhnya kepada mereka (MOM dan MSN) kerana mereka lebih tahu berdasarkan pemantauan yang dibuat terhadap atlet.

"Saya akan bersetuju dengan setiap keputusan yang dibuat oleh MOM dan MSN dalam menentukan berapa pingat yang perlu dicapai oleh negara kita di dalam temasya itu malah saya akan melakukan perkara yang sama bagi temasya sukan yang lain di masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di ibu negara semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong menyatakan pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menentukan sasaran yang perlu dicapai kerana ia merupakan tanggungjawab mereka.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan keputusan yang dibuat oleh Khairy Jamaluddin apabila memberi arahan kepada MOM untuk mengumumkan sasaran yang perlu dicapai kerana saya juga berada di dalam jawatankuasa pemilihan.

"Walaupun temasya itu akan berlangsung tidak lama lagi kami tidak mempunyai masalah kerana dalam menentukan sasaran pingat kami akan mengadakan perbincangan berdasarkan prestasi semasa atlet dengan melihat kekuatan mereka, begitu juga dengan atlet-atlet dari negara yang bertanding.

"Sebagai contoh sasaran pingat bagi kontijen badminton mungkin terjejas berikutan pemain utama iaitu Datuk Lee Chong Wei mengalami kecederaan dan terpaksa menarik diri daripada bertanding," katanya.

No comments:

Post a Comment