Wednesday, July 9, 2014

MHC tak tetap sasaran pingat


Kuala Lumpur: Selepas kecewa gagal memenuhi sasaran 10 terbaik dan hanya menduduki tempat ke-12 kempen Piala Dunia bulan lalu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tampil lebih berhati-hati dengan tidak menetapkan pingat atau kedudukan untuk skuad lelaki dan wanita negara di Sukan Komanwel Glasgow bermula 23 Julai ini.

Dengan mempertaruhkan sebahagian besarnya muka baru kecuali empat tonggak senior iaitu Baljit Singh, S Selvaraju, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin dan Muhammad Razie Abdul Rahim, selebihnya pemain remaja yang diketepikan dari skuad Piala Dunia tempoh hari.

Timbalan Presiden MHC Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, Sukan Komanwel kali ini lebih kepada memberi pendedahan untuk pemain yang diketepikan sebelum ini bagi menunjukkan kebolehan masing-masing dan mencuri tempat dalam skuad Sukan Asia Incheon yang bakal memulakan latihan sebaik saja tamat saingan di Scotland itu.

Menurut Nur Azmi, walaupun tiada sasaran ditetapkan buat pasukan lelaki kebangsaan, pemain tetap dituntut mempersembahkan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

“Enam belas pemain yang kami pilih untuk ke Komanwel yang terbaik dan kemungkinan mereka juga bakal beraksi di Incheon, Korea Selatan. “Itupun jika mereka mampu mengetepikan pemain senior lain yang direhatkan dari tugasan ini sebelum kembali menjalani latihan pusat menghadapi Sukan Asia September nanti.

“Sebab itulah, kami tidak meletakkan apa-apa sasaran pingat kerana matlamat utama merebut pingat emas Sukan Asia,” katanya ketika ditemui pada sidang media khas di Pejabat MHC di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Sementara itu, ketua jurulatih negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menyifatkan langkah MHC menghantar pasukan kedua bagi menyertai sukan kedua terbesar selepas Olimpik itu amat tepat dalam usaha membentuk sebuah barisan pemain yang mantap demi pembangunan masa depan sukan hoki negara.

“Pemain senoir terlalu keletihan selepas mengharungi tiga kejohanan terbesar sebelum ini seperti Piala Sultan Azlan Shah, CC1 (Cabaran Juara-juara 1) dan Piala Dunia Hoki di Belanda. “Kami menyenaraikan pasukan kedua kerana ingin memberi rehat secukupnya kepada pemain senior agar mereka boleh mendapatkan rehat sebelum bertarung ke pentas lebih penting Sukan Asia yang mana kita mensasarkan meraih emas bagi melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik Rio 2016,” katanya.
Berdasarkan undian semasa, skuad hoki lelaki negara diletakkan dalam Kumpulan B bersama pasukan ranking kelima Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) England, Kanada dan Trinidad and Tobago. Juara dunia Australia akan dicabar New Zealand, Afrika Selatan dan India dalam Jumpulan A.

Pasukan wanita negara pula berada dalam Kumpulan A bersama Australia, Wales dan tuan rumah Scotland. India, England, Afrika Selatan serta Kanada pula bersaing di Kumpulan B.


Oleh Mohd Firdaus Hashim - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment