Monday, July 7, 2014

10 Atlet Boling Padang Galas Cabaran Negara Di Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) akan menghantar 10 atlet termasuk lima wanita untuk menggalas cabaran negara pada temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, bermula 23 Julai ini.

Presidennya, Wan Nawawi Wan Ismail berkata kesemua pemain berkenaan dipilih berdasarkan persembahan semasa selain mengambil kira keputusan yang dicapai oleh mereka dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Skuad lelaki negara dibarisi Muhammad Hizlee Abdul Rais, Fairul Izwan Abd Muin, Muhammad Fairuz Abd Jabal, Zulhilmie Redzuan dan Mohd Amir Mohammed Yusof manakala wanita diwakili oleh Siti Zalina Ahmad, Nor Hashimah Ismail, Emma Firyana Saroji, Nur Fidrah Noh dan Azlina Arshad.

"Kita turut mendapat kembali sentuhan taktikal daripada bekas jurulatih negara, Dr Simon Botha," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau turut mengulangi sasaran satu emas mampu dicapai oleh skuad negara memandangkan sukan berkenaan bukan dimonopoli oleh sesebuah negara sahaja.

"Misalnya pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India, tiba-tiba Afrika Selatan mempamerkan persembahan mengejut. Jadi, penguasaan sukan ini bergantung pada masa pertandingan dan konsentrasi pemain sendiri.

"Sukan ini berbeza dengan sukan yang lain, konsentrasi amat penting, jika konsentrasi pemain terganggu walaupun sedikit, maka agak sukar untuk kita dapat pingat," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PLBM, Syed Zainal Abidin Syed Zin berkata skuad negara akan bertolak ke Scotland, Isnin ini, bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca, tiupan angin dan gelanggang sebenar kejohanan.

Untuk rekod, skuad boling padang negara di Sukan Komanwel 2010, New Delhi hanya memperolehi satu pingat gangsa melalui acara Pairs Wanita menerusi gandingan Nor Hashimah Ismail dan Zuraini Khalid.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment