Monday, July 14, 2014

MOM tetap enggan ubah sasaran emas


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak bercadang menilai kembali sasaran tujuh pingat emas kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Glasgow seperti diumumkan pada Khamis lalu, namun tidak menolak mampu meraih sehingga sembilan emas.

Sasaran tujuh emas berkenaan adalah penurunan kira-kira 41 peratus berbanding catatan tertinggi dalam sejarah yang dilakar kontinjen negara di New Delhi, India empat tahun lalu apabila meraih 12 emas.

“Keputusan menetapkan sasaran ini dilakukan selepas mengadakan perbincangan dengan semua pihak terbabit. Ia tidak akan dibincangkan semula walaupun ada yang berpandangan sasaran berkenaan menurun.

“Sasaran itu ditetapkan berdasarkan potensi dimiliki atlet kita. Seperti Brazil yang memenangi Piala Dunia lima kali namun disebabkan kekurangan pemain berstatus bintang, mereka tewas. “Sasaran kita bukan tidak realistik, tapi kita sudah mengkaji dan membuat penelitian secara terperinci siapa yang akan menang,” kata Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi semalam.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad menerusi laporan Arena Metro pada Sabtu lalu berkata, sasaran semasa itu dilihat sebagai langkah ke belakang kerana sasaran itu pernah diraih kontinjen negara di Manchester 2002.

Justeru menurutnya, sasaran itu menimbulkan banyak persoalan kerana kontinjen negara jelas tidak berkembang jauh walaupun peruntukan semakin bertambah.

“Kita kehilangan emas dalam beberapa acara kerana kecederaan Datuk Lee Chong Wei dan pengguguran acara berpasangan dalam sukan menembak. Jika kedua-duanya dipertandingkan di Glasgow, sudah pasti dua emas mampu ditambah kerana Chong Wei (pemain nombor satu dunia) manakala acara berpasangan dalam sukan menembak dilihat lebih cerah dimenangi berbanding individu.

“Namun, saya merasakan tidak mustahil untuk kontinjen negara meraih sekurang-kurangnya sembilan emas menerusi beberapa acara seperti boling padang, gimnastik dan terjun menerusi atlet tertentu yang mampu melakukan kejutan,” tambahnya.

Kontinjen negara untuk edisi ke-20 Sukan Komanwel akan diketuai Datuk Ong Poh Eng bersama 179 atlet untuk menyertai 14 daripada 17 jenis sukan yang merangkumi 130 acara.


Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment