Wednesday, July 9, 2014

Khairy Serah Kepada Kepimpinan Bam Selesai Kemelut Jurulatih


KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada pucuk pimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyelesaikan kemelut dalaman membabitkan Ketua Jurulatih Kebangsaan skuad badminton negara, Rashid Sidek.

Katanya, beliau mendengar daripada BAM bahawa ketua jurulatih negara itu tidak berpuas hati dengan kepimpinan BAM yang disifatkan kurang prihatin dengan kebajikan jurulatih.

"Saya telah bincang perkara ini dengan Timbalan Presiden (BAM) Datuk Norza Zakaria pagi tadi dan meminta pihak BAM menyelesaikan kemelut tersebut dengan cara mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Kementerian Belia dan Sukan bersama media hari ini.

Beliau turut meluahkan rasa kebimbangan terhadap masa depan sukan badminton negara namun beliau berkata biarlah perkara tersebut menjadi rahsianya dengan pihak BAM sahaja.

Khairy berkata walaupun Datuk Lee Chong Wei tidak beraksi di temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang bermula pada 23 Julai ini pihak kementerian masih menaruh harapan kepada pasukan badminton negara untuk membawa pulang dua pingat emas yang menjadi sasaran kontinjen negara sebelum ini.

Sementara itu, Khairy berkata beliau menyerahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mengumumkan sasaran keseluruhan kontinjen negara ke Sukan Komanwel ketika diminta mengulas sasaran negara di sukan itu.

Katanya, beliau telah menerima cadangan sasaran yang dibuat oleh MOM dan bersetuju dengan sasaran itu yang disifatkan sebagai realistik bagi menghadapi temasya Sukan Komanwel akan datang.

"Saya sendiri terlibat sama secara langsung berbincang dengan MOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menentukan sasaran negara ke temasya empat tahun sekali itu.

Dalam perkara ini menjadi satu kebiasaan menteri sendiri yang akan umumkan sasaran negara di setiap kali kejohanan besar tapi kita bagi peluang kepada MOM sebagai badan induk pengurusan sukan negara," katanya.

Mengenai pemilihan atlet berbasikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa menggantikan Chong Wei sebagai pembawa Jalur Gemilang di Sukan Komanwel nanti, Khairy berkata beliau bersetuju dengan keputusan MOM dan menyifatkannya sebagai pilihan yang tepat.

"Agak malang Chong Wei mengalami kecederaan pada saat akhir namun kita perlu faham bahawa beliau perlu pulih sepenuhnya daripada kecederaan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Piala Dunia di Denmark pada pertengahan Ogos dan Sukan Asia pada awal September depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Panel Penasihat Sukan akan bermesyuarat pada 10 Ogos ini bagi membincangkan mengenai isu Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang didakwa menyalah guna peruntukan skuad berbasikal lebuh raya negara.

Khairy sebelum ini mengarahkan unit dalaman kementeriannya mempercepat proses audit akaun PKBM yang membabitkan dana tahunan berjumlah RM1.5 juta.

PKBM sebelum ini dikecam hebat beberapa pihak berikutan prestasi hambar yang dipamer skuad berbasikal lebuh raya negara apabila sekadar meraih satu pingat perak dan satu gangsa di temasya Sukan SEA Myanmar Disember lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment