Wednesday, July 9, 2014

‘Biar MOM tentu sasaran pingat’


Kuala Lumpur: “Biar Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang umumkan sasaran pingat di Sukan Komanwel Glasgow 2014,” kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar walaupun temasya itu hanya tinggal dua minggu untuk dilangsungkan.

Khairy berkata, sasaran yang akan diumumkan MOM membabitkan pandangan semua pihak, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Saya sudah tengok dan bersetuju, ia dibuat selepas perbincangan dengan MOM dan MSN, tidak perlu untuk saya membuat pengumuman,” katanya di Majlis Berbuka Puasa Anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) semalam.

Jelasnya, lebih adil untuk MOM yang mengumumkannya kerana temasya seperti Sukan SEA, Komanwel dan Asia semuanya di bawah seliaan secara rasmi mereka.

“Ini bermakna saya bersetuju bukannya tidak bersetuju mengenai sasaran pingat, kerana perbincangan secara bersama sudah dibuat sebelum itu lagi,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan pelumba trek negara, Fatehah Mustapa sebagai pembawa bendera di Sukan Komanwel 2014 Glasgow menggantikan Datuk Lee Chong Wei, Khairy amat bersetuju dengan pemilihan itu.
“Ia pilihan yang bagus, saya amat mengenali Fatehah dan kami pernah berkayuh bersama di Melbourne, tapi agak malang Chong Wei tidak dapat menyertai kontinjen negara.

“Bagaimanapun, dia akan membuat persiapan awal untuk Kejohanan Dunia dan Sukan Asia 2014 Incheon. Ketua Pegawai Eksekutif ISN (Institut Sukan Negara), Datuk Dr Ramlan (Abdul Aziz) meminta Chong Wei berehat buat seketika,” katanya.

Mengenai perkembangan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Khairy berkata, beliau menunggu sehingga Panel Penasihat Sukan selesai bermesyuarat esok sebelum menentukan hala tuju.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment