Wednesday, July 16, 2014

Dharma dapat surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR - Belum sempat reda dengan berita panas beberapa pemain menarik diri, masalah lain pula yang dihadapi skuad hoki kebangsaan menjelang Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Scotland bermula 23 Julai ini.

Kali ini, melibatkan jurulatihnya, Muhammad Dharma Raj Abdullah (gambar) yang menerima surat tunjuk sebab daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kerana mengkritik pengurusan badan induk berkenaan menerusi Facebook.

"Surat itu meminta saya memberi penjelasan secara bertulis pada Khamis ini. Berkemungkinan, saya bakal menghadapi lembaga disiplin," katanya ketika dihubungi semalam.

Dharma meluahkan isi hatinya menerusi laman sosial itu dengan mengatakan pengurusan MHC sangat lemah dan "jangan mentadbir seperti orang yang hidup di dalam gua atau atas pokok".

Dalam pada itu, biarpun skuad hoki dilanda badai, namun pengendali itu enggan berputih mata dan berharap anak-anak buahnya mengambil peluang beraksi dalam Sukan Komanwel sebagai pemanas badan sebelum bersaing di Sukan Asia yang akan berlangsung di Incheon, Korea Selatan pada September.

Malah, katanya, pemain yang tidak tersenarai dalam kejohanan Piala Dunia lepas akan diberikan peluang bagi mempamerkan bakat di Sukan Komanwel untuk merebut tempat dalam skuad ke Sukan Asia.

"Sasaran kami tertumpu kepada final Sukan Asia untuk merebut slot secara automatik ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil nanti.

"Kami mahu beri peluang kepada beberapa pemain senior yang tidak beraksi dalam Piala Dunia tempoh hari agar mereka dapat buktikan yang mereka mampu melakukan yang terbaik jika mewakili negara ke Korea Selatan.

"Ramai tidak faham bahawa setelah 12 tahun tidak beraksi di Piala Dunia, prestasi pasukan negara lain telah meningkat, lebih baik daripada kita.

"Kita perlu mengambil aksi Piala Dunia sebagai batu loncatan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik dan saya tidak melihat ia sesuatu yang negatif atau melemahkan semangat pemain saya," katanya.

Skuad hoki negara akan memulakan kempen Sukan Komanwel dengan bertemu Kanada pada 26 Julai dalam Kumpulan B. Mereka kemudian bersemuka dengan England pada keesokan harinya, diikuti dengan Trinidad dan Tobago (29 Julai) dan New Zealand (31 Julai).


SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment