Wednesday, July 16, 2014

Sasaran tujuh emas bukan perkara remeh

JOHAN Tilawah Antarabangsa, Ustaz Tarmizi Mohd. Ali mengimamkan solat hajat untuk kejayaan atlet Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2014 di Dewan Komanwel MSN Bukit Jalil, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) mengakui biarpun sasaran tujuh pingat emas kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland lebih rendah daripada pencapaian 2010, namun ia bukan satu tugas yang boleh dipandang remeh.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, sasaran tujuh emas tersebut boleh dianggap realistik selepas menilai segala aspek, tetapi semua itu hanya akan tercapai melalui kerja keras atlet-atlet bertanding.

"Saya telah beberapa kali sebut tentu sukar untuk mengulangi pencapaian Sukan Komanwel 2010 di New Delhi kerana pada temasya kali ini kita mungkin rasa ada peluang untuk meraih pingat emas, tetapi sebenarnya mungkin sukar.

"Malah, saya berpendapat salah satu prospek pingat emas kita iaitu Datuk Nicol David tidak akan diberikan laluan mudah untuk mendapatkan pingat emas begitu juga atlet lain," katanya kepada pemberita sewaktu majlis solat hajat buat kontinjen negara ke Sukan Komanwel di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Komanwel 2014, Datuk Ong Poh Eng memberitahu, sasaran tujuh pingat emas ditetapkan berdasarkan kesesuaian keadaan dan mengambil kira aspek lain termasuk ketiadaan beberapa sukan yang tidak dipertandingkan.

Sementara itu, Zolkples turut memberitahu kecederaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong tidak akan menjadi penghalang untuk atlet tersebut menyumbang pingat buat Malaysia pada temasya kali ini.

"Perbincangan telah diadakan dengan pihak Institut Sukan Negara berhubung kecederaan Pandelela dan kecederaan tersebut tidak terlalu teruk. Ia juga tidak menjejaskan peluangnya untuk bertanding.
"Dia (Pandelela) masih lagi menjadi antara prospek pingat di Sukan Komanwel," tegas Zolkples.


Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment