Wednesday, July 16, 2014

7 emas tak cukup


Kuala Lumpur: Ahli Panel Penasihat Sukan (PPS) Datuk Wira Mazlan Ahmad terus mempersoalkan sasaran tujuh pingat emas kontinjen negara ke Sukan Komanwel Glasgow bermula minggu depan, lebih-lebih lagi dengan peruntukan khusus RM15 juta yang diumumkan kerajaan menerusi Bajet 2013.

“Semua perkara dalam sukan, peminat mengharapkan peningkatan. Ia seperti ekonomi negara dengan semua pihak mengharapkan peningkatan. Pada saya sekurang-kurangnya 10 pingat emas seharusnya menjadi buruan kontinjen negara, bukannya tujuh.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sebagai Menteri Kewangan pada pembentangan bajet dua tahun lalu memperuntukkan RM15 juta sebagai persiapan menghadapi beberapa temasya sukan termasuk Sukan Komanwel 2014.

“Jelas peruntukan yang disalurkan mencerminkan harapan rakyat,” kata bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu.

FotoZOLKPLES guna alasan Chong Wei cedera untuk kurangkan sasaran.

Selain Sukan Komanwel, peruntukan itu juga bagi mempersiapkan atlet negara ke Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan Para Asean 2013 (Myanmar) dan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan hujung tahun ini.

Jelasnya bukan beliau saja yang tidak senang dengan sasaran tujuh pingat emas itu, namun ada pihak lain yang turut berkongsi pandangan sama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong yang bangkit mempertahankan sasaran tujuh pingat emas, pengurangan lima pingat emas berbanding pencapaian empat tahun lalu di New Delhi, India.

Zolkples menjelaskan ada beberapa faktor perlu diambil kira dalam memutuskan sasaran itu seperti kecederaan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan kekuatan atlet tuan rumah.

Mazlan yang pernah mengetuai MSN dari 1993 hingga 2005 turut mempersoalkan tindakan Zolkples yang membandingkan pencapaian kontinjen negara pada temasya lain.

“Saya hanya memberi pandangan mengenai Sukan Komanwel saja. Ini kerana kita pernah menjadi tuan rumah pada 1998 dan rakyat Malaysia lebih banyak mengetahui dan mengikuti rapat temasya ini berbanding Asia dan Olimpik.

“Benar beliau menyatakan pada 2008, kontinjen negara meraih tujuh emas di Manchester berbanding 10 emas di Kuala Lumpur pada 1998 namun ia hanya kekurangan tiga emas bukannya hingga lima emas seperti yang disasarkan di Glasgow kali ini. Saya sudah bersara selama sembilan tahun dan beranggapan keadaan lebih baik berbanding dulu,” katanya.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment