Tuesday, July 8, 2014

Atlet Ke Sukan Komanwel Digalak Ambil Makanan Manis Dan Berprotein Semasa Bulan Ramadan

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Pakar pemakanan menasihati atlet negara ke temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland yang bermula 23 Julai ini supaya mengambil lebih banyak makanan manis dan berprotein seperti buah kurma ketika berbuka puasa dan sahur.

Pensyarah Bahagian Teknologi Makanan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Azhar Mat Esa berkata atlet memerlukan jumlah kalori tenaga lebih tinggi berbanding orang biasa, lebih-lebih lagi ketika mereka beraksi di sesuatu kejohanan sukan.

"Makanan bergula seperti buah kurma mampu memberi tenaga segera kepada atlet selepas bersahur ataupun berbuka puasa yang boleh diambil dalam bentuk jus minuman mahupun dalam bentuk asal dengan kuantiti yang banyak iaitu lima kali ganda daripada saiz hidangan orang biasa," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.

Beliau berkata buah kurma yang juga merupakan makanan utama baginda Rasulullah S.A.W, mempunyai kandungan serat gula, protein, vitamin A dan C serta zat mineral atau galian seperti kalsium, besi, sodium dan potasium yang mampu mengembalikan bekalan tenaga dalam badan manusia selepas seharian menjalani ibadat puasa.

Namun, Azhar berkata gula yang diperoleh daripada makanan manis itu hanya dapat diguna sepenuhnya oleh badan dalam masa lebih kurang 45 minit selepas dimakan kerana badan memerlukan masa untuk memproses makanan itu.



Beliau berkata sekiranya atlet tidak mempunyai banyak masa, mereka boleh mengambil makanan berglokusa tinggi seperti 'Power Bar' yang mampu membekalkan tenaga segera kepada badan.

"Atlet juga digalakkan mengambil makanan yang mengandungi protein tinggi seperti susu dengan sukatan lima sudu untuk segelas susu," kata Dr Azhar.

Turut berkongsi pendapat yang sama ialah Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

"Kandungan gula yang tinggi dalam buah kurma mampu menjana tenaga segera berbanding makanan lain yang memerlukan masa lebih panjang," katanya.

Beliau berkata selain buah kurma atlet turut mempunyai pilihan mengambil minumnan jus buah-buahan atau juadah lain yang manis.

"Selepas berpuasa kira-kira 19 jam sudah pasti badan akan menjadi lemah akibat kandungan gula rendah dalam darah dan cara terbaik untuk mengembalikan tenaga adalah dengan mengambil makanan manis," katanya.

Ramlan berkata para atlet juga digalakkan mengambil banyak hidangan berbentuk cecair seperti air, sup ataupun bubur bagi memastikan badan mereka mempunyai bekalan air yang mencukupi, sekali gus mengelakkan risiko dehidrasi memandangkan tempoh berpuasa di Scotland lebih panjang berbanding di Malaysia.

"Atlet juga dinasihatkan agar berkumuh dan mandi selepas menjalani latihan bagi menjaga hidrasi badan selain kekal segar," katanya.

Beliau berkata ISN telah mengeluarkan garis panduan jadual pemakanan lengkap untuk atlet negara beragama Islam yang akan menjalani ibadat puasa di Scotland bagi memastikan bahawa mereka mendapat bekalan tenaga yang secukupnya sebelum bertanding.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment