Tuesday, July 8, 2014

Wei Feng Tekad Pertahan Emas Perseorangan Lelaki Di Glasgow

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara Chong Wei Feng optimis Malaysia masih mampu mempertahan penguasaan pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, bermula 24 Julai ini.

Wei Feng berkata ketiadaan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei pada kejohanan itu kali ini tidak menjejaskan sasaran dua emas dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan.

Katanya, sebagai pemain kebangsaan, beliau dan Liew Daren sudah bersedia memikul tanggungjawab itu serta mahu membuktikan keupayaan mereka meraih kilauan emas pada kejohanan itu.

"Kita perlu positif walaupun cabaran besar beraksi tanpa Datuk Lee Chong Wei. Kita kena fikir jangka masa panjang, sampai masa nanti saya dan Daren serta pemain lain juga perlu bertanggungjawab memikul tugas itu, jadi perlu belajar dari sekarang.

"Sasaran pingat emas bagi acara perseorangan lelaki masih lagi realistik walaupun tanpa Chong Wei, saya dan Daren masih berpeluang untuk meraih pingat emas," katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di Jalan Klang Lama di sini Isnin.

Wei Feng berkata saingan bagi acara perseorangan lelaki pada Sukan Komanwel kali ini ialah Kashyap Parupalli dari India serta beberapa pemain dari benua Eropah.

Untuk rekod, pemain perseorangan negara cemerlang dengan pencapaian pingat emas selama 20 tahun berturut-turut menerusi Rashid Sidek pada edisi 1990 dan 1994, Wong Choong Hann (1998), Hafiz Hashim (2002) dan Chong Wei pada edisi 2006 dan 2010.

Pemain perseorangan pertama menyumbang pingat emas ialah Tan Aik Huang pada 1966 dan mendiang Datuk Punch Gunalan pada tahun 1974.

Tonggak utama negara, Chong Wei terpaksa menarik diri daripada Sukan Komanwel kali ini berikutan kecederaan pangkal paha selepas beraksi pada Kejohanan Terbuka Indonesia bulan lepas.

Sementara itu, ketua jurulatih, Rashid berkata prestasi Wei Feng berada pada tahap baik serta mempunyai peluang untuk meraih emas pada kejohanan itu nanti.

"Buat masa ini, saya lihat Wei Feng boleh diharapkan untuk mengutip emas kerana prestasi beliau semasa kejohanan Piala Thomas baru-baru ini berada pada tahap yang baik.

"Pihak pengurusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) akan memutuskan siapa sandaran pingat emas bagi acara perseorangan lelaki, kami (jurulatih) hanya memberi cadangan sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Rashid sekali lagi menyatakan beliau kemungkinan tidak akan mengiringi skuad badminton ke Scotland namun menyerahkan kepada pihak pengurusan tertinggi BAM membuat keputusan.

"Mungkin saya tidak lagi menjadi 'team leader' untuk Sukan Komanwel kali ini...saya rasa tugas ini terlalu berat tetapi saya tidak tahu lagi sama ada pergi atau tidak.

"Saya harap pihak pengurusan tertinggi BAM dapat membuat keputusan terbaik buat skuad badminton ke Sukan Komanwel kali ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment