Tuesday, July 8, 2014

Mohd Hafifi Mampu Raih Emas Sukan Komanwel Glasgow

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yakin atlet mereka Mohd Hafifi Mansor akan menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 3 Ogos.

Timbalan Presiden PABM Ahmad Janius Abdullah berkata Mohd Hafifi, yang akan bertanding dalam kategori 69 kg lelaki, dilihat antara yang pasti bakal meraih pingat emas di samping beberapa atlet lain yang turut diletakkan sandaran oleh PABM.

"Satu pingat emas melalui Mohd Hafifi itu memang pasti. Saya yakin kita mampu dan pada masa sama juga menyasarkan beberapa pingat perak ataupun gangsa melalui atlet lain.

"Sebagai contoh, saya lihat Constantine Clement Awas yang bertanding dalam kategori 62 kg lelaki juga berpotensi untuk beri kita pingat, sekurang-kurangnya gangsa," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Hafifi, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel New Delhi empat tahun lepas, kini menjalani latihan bersama jurulatih dari Indonesia.

Ahmad Janius berkata skuad angkat berat kebangsaan kini menjalani latihan peringkat akhir di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Empat atlet wanita yang bakal menggalas cabaran negara ialah Sharifah Inani Najwa Syed Anuar (48 kg), Azizah Fadzil (53 kg), Frenceay Titus (53 kg) dan Nurjannah Batrisyah Abdullah (75 kg).

Bagi kategori lelaki, ia terletak di bahu Mohd Faizal Baharom (56 kg), Zulhelmi Md Pisol (56 kg), Constantine Clement (62 kg), Mohd Hafifi Mansor (69 kg), Mohd Azril Huzairi Ramli (69 kg), Abd Mubin Rahim dan Loro Wellkinson Peuji (77 kg) serta Mohd Faiz Musa (94 kg).

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad angkat berat kebangsaan adalah pada edisi 2010 di New Delhi, India dengan kutipan dua emas, masing-masing menerusi Amirul Hamizan Ibrahim dalam kategori 56 kg dan Aricco Jumitih kategori 62 kg.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment