Friday, October 1, 2010

Umpama daki gunung

TAN Sri Abdul Halil Abd Mutalif (TS) mengetuai Malaysia untuk menyertai Sukan Komanwel edisi ke-19 di New Delhi India yang bermula Ahad ini sehingga 14 Oktober.
Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) itu dilantik bagi menggantikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menarik diri atas alasan kesihatan.

Namun ia tidak menghalangnya yang kini sudah berada di India untuk mempamerkan kesungguhan serta komitmennya sebagai ketua kontinjen untuk memastikan kontinjen negara mencapai sasaran sekurang-kurangnya 10 emas.

Kontinjen Malaysia menghantar 200 atlet dan 95 pegawai untuk menyertai 14 jenis sukan iaitu akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, hoki, boling padang, memanah, menembak, olahraga, ping pong, skuasy, tinju dan ragbi tujuh sebelah serta tiga acara paralimpik.

Apa perasaan TS apabila diberi tanggungjawab sebagai ketua kontinjen?

Saya sebenarnya pernah mengharap untuk menjadi ketua kontinjen kira-kira 10 tahun dulu namun kini baru diberi peluang. Walaupun perasaan bercampur, saya tetap menerimanya dengan hati yang terbuka dan cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik. 

Ia juga bukanlah satu tugas yang membebankan walaupun terpaksa meluangkan masa yang agak panjang untuk persediaan dan berada di India kira-kira dua minggu.

S: Bagaimana TS melihat cabaran untuk meraih 10 emas di temasya itu?

J:
Sama ada kita dapat mencapai 10 atau lebih pingat emas ia bergantung sepenuhnya kepada prestasi atlet semasa bertanding. Itu yang lebih penting kerana kita membuat sasaran berdasarkan pencapaian yang mereka lakukan sebelum ini.

Macam-macam boleh berlaku seperti yang berlaku kepada ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David yang diharapkan meraih emas pada edisi 2006 di Melbourne, Australia namun kecundang.

Kita umpama mendaki gunung yang tinggi untuk mencapai sasaran itu namun berdasarkan prestasi semasa beberapa jenis sukan seperti memanah, berbasikal, tinju dan menembak kita mampu untuk mencapai sasaran itu.

Jika mengikut cara saya, kita perlu bermatlamat tinggi bagi membolehkan kita mencapai tahap yang lebih tinggi namun halangan dari segi mental harus dilupakan semasa pertandingan.


Adakah TS berpuas hati dengan persiapan atlet secara keseluruhannya?

Menurut maklumat yang saya terima semua persiapan berjalan lancar dan semuanya sibuk melakukan persiapan terakhir di dalam dan luar negara malah ada sesetengahnya menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Saya sentiasa memberi semangat kepada mereka supaya bertambah maju apatah lagi persediaan kali ini bukan saja untuk Sukan Komanwel namun untuk Sukan Asia yang berlangsung sebulan selepas itu.


Pelbagai isu seperti keselamatan dan rasuah yang membelenggu pihak penganjur. Adakah ini membimbangkan TS ?

Saya sudah tegaskan di dalam mesyuarat pengurus pasukan sebelum ini supaya sentiasa berwaspada dan mengikut arahan daripada pihak di sana terutamanya apabila ia membabitkan isu keselamatan.

Kita tahu India akan melakukan yang terbaik untuk menjaga semua kontinjen untuk menjaga reputasi mereka terutamanya apabila negara-negara besar seperti England, Australia dan sebagainya turut mengambil bahagian.

Jadi pada pandangan saya kita tidak perlu bimbang tapi perlu ada sikap berwaspada dan berhati-hati.


Selain permasalahan di atas, adakah ada perkara lain yang membimbangkan TS?

Ada dua perkara yang menjadi kebimbangan saya iaitu keadaan cuaca dan isu pemakanan yang mungkin akan mempengaruhi prestasi atlet.

Walaupun cuaca diramalkan baik semasa temasya itu berlangsung kita harus mengambil langkah berwaspada dengan persediaan seperti membawa pakaian tebal dan sebagainya.

Kita juga mahu atlet hanya makan makanan di dalam perkampungan sukan saja bagi mengelakkan timbulnya masalah yang lain seperti deman denggi yang dilaporkan berlaku di India.


Apa pesanan TS kepada 200 atlet yang akan beraksi di Sukan Komanwel nanti?

Apa yang penting adalah mereka perlu menjaga kesihatan semasa berada di India.

Sekiranya ada atlet yang pernah menang di Sukan Komanwel pada edisi sebelum ini saya nasihatkan mereka supaya tidak memandang rendah terhadap keupayaan lawan dan mengambil mudah.

Saya juga ingin menasihatkan atlet yang pernah tewas sebelum ini jangan cepat berputus asa dengan menganggap peluang mereka sudah tertutup kerana mereka perlu menanamkan keyakinan diri kerana orang lain tidak boleh membantu kecuali diri sendiri.



Harian Metro

No comments:

Post a Comment