Friday, October 1, 2010

Atlet wajib minum banyak air di New Delhi

BARISAN 200 atlet kebangsaan yang menggalas cabaran negara di Sukan Komanwel New Delhi, India bermula Ahad ini dinasihatkan untuk minum air yang cukup berikutan keadaan cuaca panas dan kering sepanjang temasya dua minggu itu.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata, walaupun cuaca panas di India dengan Malaysia tidak banyak berbeza namun keadaan di sana mungkin lebih kering dan berhabuk berbanding Malaysia yang lembap.
“Kami menjangkakan perkara itu kerana musim hujan baru berakhir di India malah atlet kebangsaan diingatkan dan diberikan penerangan sebelum ini supaya bersedia dengan keadaan itu semasa kem fasa akhir minggu lalu agar tidak menjelaskan prestasi mereka,” katanya.

Ramlan turut menyatakan, keadaan itu memberi kesan kepada beberapa jenis sukan yang beraksi di kawasan terbuka seperti hoki, memanah dan boling padang jika atlet tidak mempunyai kandungan air mencukupi dalam badan.

“Mereka mesti minum banyak air kosong dan isotonik yang dibekalkan namun lebih penting adalah kesedaran atlet itu sendiri selain kerjasama jurulatih dan pegawai pasukan,” ulasnya.

Sementara itu, isu kesihatan lain terutamanya ancaman wabak denggi, Ramlan berkata, laporan diterima semuanya terkawal dan memuaskan terutama persiapan awal ISN dengan membekalkan beberapa peralatan untuk pencegahan seperti ‘gelang nyamuk’ dan sebagainya.

“Pasukan perubatan diketuai tiga orang doktor bagaimanapun tetap memantau rapi situasi sekiranya timbul perkara tidak diingini,” katanya lagi.

Sebahagian besar kontinjen negara daripada beberapa jenis sukan seperti boling padang, angkat berat, memanah, badminton dan gimnastik kini berada di India untuk menjalani latihan akhir sebelum temasya bermula..



Harian Metro

No comments:

Post a Comment