Thursday, September 30, 2010

Amirul jadi tumpuan Isnin ini

Amirul Hamizan Ibrahim
Amirul Hamizan Ibrahim
Prospek penyumbang emas pertama negara saingan Sukan Komanwel

ANDAI segala yang dicaturkan menjadi, orang besi harapan negara, Amirul Hamizan Ibrahim dijangka menjadi penyumbang emas pertama kontinjen negara pada Sukan Komanwel XIX, Isnin ini.

Pemenang tiga emas Manchester 2002 itu prospek terbaik memenangi emas berdasarkan kedudukannya di ranking pertama kategori 56 kilogram di kalangan peserta negara Komanwel yang bertanding, dengan rekod angkatan 265 kilogram.

Jika bernasib baik, kontinjen negara juga boleh menyaksikan penyudahan 1-2 dalam kategori itu kerana seorang lagi wakil negara, Mohd Shafiq Ismail berada di ranking kedua dengan angkatan terbaik 251kg.

Siapa yang tidak mahu menjadi penyumbang emas pertama negara dan saya berdoa mampu berbuat demikian. Sudah tentu ia menjadi detik manis menyaksikan lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar megah buat pertama kali di New Delhi.

Kemenangan itu juga nanti pasti akan menyemarakkan semangat rakan atlit lain memburu kegemilangan, tekad Amirul mengulas peluangnya menjadi atlit pertama menyumbang emas sebelum berangkat ke New Delhi, kelmarin.

Sebelum berlepas, dia sempat menelefon ibunya untuk memohon restu dan doa selain mengucapkan selamat tinggal kepada isterinya, Ida Royainee Razali dan anaknya, Illy Emelda Ellesya.

Merekalah sumber inspirasi saya, kata atlit kelahiran Rompin yang dibimbing jurulatih, Zakaria Yusop.
Amirul menjalani latihan persiapan dua bulan di Lampung, Indonesia dan tampak sudah bersedia menyahut cabaran apabila bebas daripada kecederaan, selain berjaya mengatasi masalah berat badannya.

Tiada lagi masalah, semuanya okay, katanya yang mencetuskan kebimbangan sebelum ini kerana masalah berat badan yang meningkat dua kilogram, dua minggu lalu.



Berita Harian

No comments:

Post a Comment