Thursday, September 30, 2010

Ramuan lebuh raya lengkap


Pelumba-pelumba negara berehat di St. Kilda, Melbourne, semalam selepas menjalani latihan intensif sebagai persiapan ke Sukan Komanwel XIX.


MELBOURNE - Skuad berbasikal lebuh raya kini serba-serbi lengkap dalam memikul cabaran Sukan Komanwel di New Delhi.

Dengan masing-masing dua pemecut dan pendaki serta pemisah kelompok dan seorang yang serba boleh, ditambah dengan Amir Mustafa Rusli yang berkarisma, menjadikan skuad lebuh raya negara bersedia beraksi di New Delhi, awal bulan depan.

Malah, disokong dengan pengalaman luas Anuar Manan berlumba di Eropah, mereka menjanjikan tentangan yang lebih baik pada temasya 3-14 Oktober itu, sekalipun masih agak sukar untuk diletak sebagai pasukan pilihan memungut pingat.
Watak pemecut sudah pasti didukung Anuar yang juga Raja Pecut Le Tour de Langkawi 2010, sambil dibantu Mohd. Haniff Salleh. Shahrul Mat Amin juga memiliki kelebihan memecut dan memecah kelompok persaingan manakala Yusrizal Usof dan Adiq Husaini Othman dianggap pakar mendaki laluan dan kawasan tinggi selain serba boleh.

Adiq Husaini juga merupakan pemenang gangsa Kejohanan Belia Dunia di Moscow, tahun lalu sementara jurulatih pasukan lebuh raya ialah William Walker dari Australia.
Dengan perlumbaan lepas beramai-ramai yang disertai di Delhi hanya berlangsung 10 Oktober ini, maka masih banyak masa untuk mereka memantapkan kayuhan dan keserasian, selain menggubah taktikal sepanjang sesi latihan setiap hari di Freakstone, di sini.

"Peluang meraih pingat banyak bergantung kepada kerja sepasukan dan sokongan rakan tetapi pasukan pilihan dalam acara ini bakal banyak tertumpu kepada Australia dan England.

"Bagaimanapun kehadiran Anuar dengan pengalamannya ketika bertanding dalam banyak perlumbaan di Eropah kebelakangan ini, diharap dapat melonjakkan pasukan ini ke tempat yang sewajarnya pada Sukan Komanwel," kata Amir Mustafa selepas menjalani latihan ringan, semalam.

Skuad lebuh raya ke Sukan Komanwel, semalam hanya melakukan latihan kayuhan ringan di tepi pantai Freakstone sejauh 200 kilometer hampir dua jam.

Dalam latihan yang lebih keras ditetapkan jurulatih bagi menghadapi pertandingan antarabangsa, mereka biasanya dikerah berkayuh enam jam di jalan raya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment