Friday, July 11, 2014

Tujuh emas munasabah



Kuala Lumpur: “Sasaran munasabah”. Itu reaksi Chef-de-Mission Datuk Ong Poh Eng selepas mengumumkan sasaran rasmi tujuh pingat emas buat kontinjen negara ke Sukan Komanwel Glasgow dijadual berlangsung kurang dua minggu lagi.

Tampil menafikan sasaran itu terlalu rendah, Poh Eng menjelaskan sasaran ditetapkan itu paling tepat dan mampu dicapai atlet negara.

“Ia bukan rendah kerana sasaran itu berada dalam jangkauan kita. Pelbagai aspek perlu diambil kira seperti ketiadaan beberapa sukan yang menjadi kekuatan kita selain kecederaan Datuk Lee Chong Wei,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang, semalam.

Sejak mula bertanding pada 1950, Malaysia meraih pungutan tertinggi di New Delhi, India empat tahun lalu dengan 12 emas menerusi acara badminton (empat emas), angkat berat (dua), menembak (dua), berbasikal (satu), skuasy (satu), terjun (satu) dan gimnastik (satu).

“Kami sudah membuat penilaian dengan beberapa pihak, dan saya berpendapat tiada guna menetapkan sasaran yang tidak mampu dicapai. “Anda perlu realistik dengan jumlah mampu diraih dan berusaha ke arah itu. Sukan bukanlah sesuatu yang tetap, apa saja boleh berlaku dan kami akan berusaha mendapatkan sebanyak mungkin emas,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar malah turut menganggap sasaran tujuh emas itu sebagai realistik.

Ditanya sama ada sasaran tujuh emas berpunca daripada masalah pembangunan sukan tertentu, Poh Eng menafikannya dengan menjelaskan peningkatan sukan bukannya boleh dicapai dalam tempoh singkat kerana membabitkan jangka masa panjang.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata, beberapa faktor lain turut diambil kira seperti pengurangan acara tertentu, kekuatan atlet tuan rumah, cuaca dan sebagainya turut memainkan peranan dalam membuat keputusan itu.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment