Friday, July 11, 2014

Malaysia Sasar Tujuh Pingat Emas Di Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan sasaran realistik tujuh pingat emas pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 3 Ogos ini.

Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Komanwel Datuk Ong Poh Eng berkata sasaran kali ini dibuat berdasarkan kesesuaian keadaan dan mengambil kira beberapa aspek termasuk ketiadaan beberapa sukan yang tidak dipertandingkan.

"Kali ini, kita lihat juga kepada penarikan diri Datuk Lee Chong Wei dan juga banyak sukan yang tidak dipertandingkan serta tidak disertai oleh atlet negara.

Kita meletakkan sasaran minimum sekurang-kurangnya tujuh pingat emas tetapi kita akan bekerja keras untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini Khamis.

Dalam pada itu, Ong berkata sasaran yang dibuat oleh MOM ini merangkumi semua jenis sukan yang disertai oleh kontinjen negara dan tidak tertumpu kepada sukan-sukan tertentu sahaja.

"Kita memang melihat sukan-sukan tertentu mempunyai prospek untuk menyumbang pingat. Kita mahu dan berharap semua atlet akan berjuang bersungguh-sungguh untuk memperoleh kemenangan," katanya.

Sepanjang penyertaan Malaysia di temasya Sukan Komanwel, kontinjen negara meraih dua pingat emas di Victoria, Kanada pada 1994, 10 emas di Kuala Lumpur (1998), tujuh emas di Manchester, England (2002) dan Melbourne, Australia (2006) dan yang terbaik iaitu 12 emas di New Delhi, India (2010).

Pada majlis hari ini, penyerahan Jalur Gemilang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment