Thursday, July 10, 2014

Tanggungjawab tiup semangat Fatehah



Kuala Lumpur: Tugas sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Komanwel 2014 Glasgow akan meniupkan lagi semangat pelumba berbasikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa menghadiahkan pingat buat kontinjen Malaysia.

Fatehah yang menggantikan tugas Datuk Lee Chong Wei (gambar), mengakui sangat gembira dan berbesar hati diberi tanggungjawab itu sebagai wakil atlet lain yang akan membawa tanggungjawab negara di temasya itu.

“Ini kali pertama sepanjang karier saya diberi tanggungjawab seperti ini, sebelum ini baik di Sukan Malaysia (SUKMA) serta kejohanan lain saya tidak pernah mendapat peluang seperti ini,” kata pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu.

Sebelum ini tanggungjawab itu diberikan kepada Chong Wei, namun pemain badminton nombor satu dunia itu terpaksa menarik diri beraksi di Glasgow kerana mengalami kecederaan otot.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terbabit dalam pemilihan ini.

“Setidak-tidaknya ia memberi semangat untuk saya menghadiahkan pingat buat negara,” kata pelumba berusia 25 tahun itu.

Fatehah menyasarkan untuk me raih pingat dalam acara 500 meter ujian masa, namun perlu mengatasi cabaran pelumba dari Australia (Anna Meares), England (Jessica Varnish dan Victoria Williamson) dan New Zealand.

“Setakat ini sudah banyak peningkatan selepas saya berehat lama kerana mengalami kecederaan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2014 di Astana,” katanya.



Oleh Ferzalfie Fauzi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment