Monday, July 21, 2014

Sebati gaya agresif


Glasgow: Jaguh keirin negara Azizulhasni Awang tidak akan menukar gaya tunggangannya dalam misi memburu pingat emas Sukan Komanwel Glasgow bagi menebus kehampaan empat tahun lalu di New Delhi.

Katanya gaya agak nekad dan berbahaya sudah sebati dengannya dan cara pecutan itu turut digeruni lawan.

“Saya gagal kerana gaya itu dan menang juga dengan gaya itu. Saya tidak akan menukarnya semata-mata mahu elak daripada dibatalkan komisar atau kemalangan.

“Saya dikenali kerana gaya nekad ini dan kerap memenanginya pada siri Piala Dunia. Malah saya senang dengan cara itu. Mungkin orang nampak bahaya, namun pada saya ia cukup berkesan.

FotoAZIZULHASNI (kiri) bersama Ng bermain biola selepas sidang media di perkampungan sukan.

“Malah ketua jurulatih John Beasley juga mengakui gaya itu adalah senjata utama saya menggerunkan lawan,” katanya pada sidang media di Perkampungan Sukan semalam.

Pada temasya di New Delhi, Azizul yang meluncur laju melintasi garisan penamat dibatalkan komisar selepas pecutan di selekoh terakhir dipersalahkan kerana berbahaya. Ekoran itu rakan senegara Josiah Ng diumumkan pemenang pingat emas.

“Sudah tentu saya akan tebus kegagalan di sini. Ia misi utama saya kali ini,” katanya.

Azizul akan menyertai tiga acara, pecut, keirin dan pecut berpasukan apabila venue acara berbasikal trek di Velodrom Sir Chris Hoy dibuka Khamis ini.

Ditanya persiapan sebelum ke Glasgow, Azizul atau nama jolokannya Rocket Pocketman mengakui berada dalam keadaan cergas sepenuhnya dengan keupayaan pecutan semakin meningkat.

“Beasley menyiapkan kami dengan kekuatan mental dan fizikal. Insya-Allah jika kena pada strategi, saya akan membawa pulang pingat emas untuk negara,” tegasnya.


Oleh Azahar Md Taib, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment