Wednesday, July 16, 2014

Prospek Emas Olahraga Bakal Dilahirkan Semula Dalam Masa Lima Tahun - KOM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu merencana semula program latihannya bagi membolehkan atlet negara kembali menjadi sandaran pingat emas dalam mana-mana temasya sukan atau kejohanan, kata presidennya Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Justeru itu, beliau yakin prospek pingat emas bagi acara olahraga dapat dilahirkan semula dalam masa empat hingga lima tahun dari sekarang.

Beliau turut mengakui olahraga negara ketika ini dilanda kemerosotan prestasi apabila KOM tidak meletakkan sebarang sasaran pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang berlangsung dari 23 Julai hingga 3 Ogos ini.

"Buat masa sekarang memang agak sukar untuk skuad olahraga negara bangun, tapi saya yakin dalam masa selewat-lewatnya lima tahun lagi kita akan bangkit semula.

"Sekurang-kurangnya pada dua tahun akan datang KOM sudah berjaya melahirkan atlet yang berpotensi menghadiahkan pingat emas kepada negara," katanya kepada Bernama Isnin.

KOM menghantar lima atlet berpotensi ke Glasgow bagi tujuan pendedahan awal sebelum bersaing merebut pingat emas pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan SEA ke-28 di Singapura, tahun hadapan.

Antara yang berjaya ke sukan berprestij itu ialah atlet lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa dan Yap Sean Yea, Jackie Wong (baling tukul besi), Iskandar Alwi (lompat bergalah) dan Raja Nursheena Raja Azhar (100m berpagar).

"Persiapan ke Sukan Komanwel berjalan lancar. Semuanya mengikut apa yang dirancang. Mutu di Sukan Komanwel adalah tinggi berbanding temasya sukan lain, jadi kita tidak sasar pingat emas.

"Kita kena realistik dalam meletakkan sasaran, kena tengok prestasi atlet sekarang tapi saya yakin mereka akan bersaing dengan sebaik mungkin dan mempamerkan aksi lebih baik di sana," katanya.

Zainal Abidin berkata walaupun KOM tidak menyasarkan sebarang pingat emas namun beliau berharap skuad olahraga kebangsaan mampu berada dalam kelompok 10 terbaik.

Pencapaian terbaik skuad olahraga negara ialah menerusi S Govindasamy yang meraih pingat emas dalam acara 50km jalan kaki lelaki pada Sukan Komanwel 1998 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment