Tuesday, July 22, 2014

Mohd Fauzan Tangguh Ke Glasgow - Jurulatih


KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pelumba basikal negara Mohd Fauzan Ahmad Lutfi yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di KM247 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Seremban, Isnin malam terpaksa menangguhkan perjalanan ke Glasgow, Scotland, Selasa.

Ketua Jurulatih Skuad lebuh raya Aminuddin Sulaiman berkata penangguhan ke Sukan Komanwel itu terpaksa dilakukan bagi memberi ruang kepada Mohd Fauzan untuk pulih dan berehat secukupnya.

"Keadaan Fauzan baik, Alhamdulillah, kerana hanya mengalami kecederaan ringan, cuma isteri beliau masuk wad sekejap malam tadi.

"Buat masa ini, kita bagi Fauzan rehat dahulu dan kita minta pihak Majlis Sukan Negara (MSN) uruskan tiket untuk beliau pergi kemudian. Lagipun tidak sempat kerana pukul 4 pagi tadi segala urusan baru selesai," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Mohd Fauzan, 28, memikul cabaran negara ke Sukan Komanwel dalam acara berbasikal lebuh raya bersama seorang lagi rakannya Loh Sea Keong yang mengikuti latihan bersama pasukan Giant Shimano.

Mohd Fauzan sepatutnya berlepas ke Glasgow, Scotland bersama Aminuddin dalam penerbangan pagi ini manakala Loh berlepas dari Amsterdam.

Dalam kejadian pada kira-kira 11.30 malam itu, Mohd Fauzan nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandunya merempuh sebuah lori yang melintang di tengah-tengah lebuh raya itu.

Pemandu lori berkenaan, Abas Baharom, 44, bagaimanapun terbunuh di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan serius dan putus betis kanan.

Ketika kejadian Mohd Fauzan bersama isteri Norasikin Omar, 31, sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pasukan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Melaka.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment