Thursday, July 10, 2014

Ketiadaan Chong Wei Tidak Lemahkan Semangat Kontinjen Di Glasgow - Ketua Kontinjen


KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) - Ketiadaan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tidak melemahkan semangat kontinjen negara pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, kata Ketua Kontinjen negara, Datuk Ong Poh Eng.

Walaupun dengan ketiadaan Chong Wei, beliau percaya bahawa kontinjen negara mampu memberikan persembahan terbaik dengan menghadiahkan lebih daripada tujuh pingat seperti pencapaian di temasya sama pada 2006 di Melbourne, Australia.

"Kita akan umumkan sasaran pingat Malaysia pada Sukan Komanwel pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen, esok. Kita akan lakukan yang terbaik tetapi mungkin tidak mencapai kutipan seperti edisi lepas di New Delhi pada 2010.

"Bukan sebab kita tidak bagus tetapi kita perlu realistik dalam meletakkan sasaran," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tajaan kasut oleh Bata di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, Rabu.

Bata yang telah menjadi penaja rasmi MOM sempena kejohanan tersebut sejak 20 tahun lalu menyerahkan rekaan ekslusif kasut jenama Power untuk kegunaan atlet pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Bata juga turut menaja kasut formal jenama 'Bata Mens' dan 'Bata Ladies' bagi kegunaan atlet ketika perarakan masuk kontinjen di majlis pembukaan Sukan Komanwel yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 3 Ogos ini.

Mengulas mengenai prestasi skuad hoki dan badminton kebangsaan, Ong berkata setiap persatuan sukan mempunyai masalah tersendiri.

"Semua orang ada masalah tetapi ia boleh diselesaikan dengan cara yang betul. Saya percaya ia tidak akan melemahkan semangat atlet pada temasya itu nanti," katanya.

Untuk rekod, Malaysia memungut 12 pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment