Tuesday, July 22, 2014

Fatehah yakin genggam pingat

Glasgow: Fatehah Mustapha tidak berasa tertekan peranannya selaku pembawa Jalur Gemilang dan tugas memburu pingat di Velodrom Sir Chris Hoy apabila acara 500 meter ujian masa bermula Jumaat ini.

Katanya sekalipun berasa tidak layak kerana ada jaguh lebih hebat seperti pemain skuasy nombor satu dunia , Datuk Nicol Ann David, amanah yang diberikan harus dilakukan penuh tanggungjawab.

“Mungkin ada yang menganggap tugas pembawa Jalur Gemilang itu akan menambah tekanan di trek nanti, tapi bagi saya tidak sama sekali.

“Saya sudah bekerja keras memastikan penyertaan kali ini bukan sekadar bertanding.

“Memang benar-benar sudah bersedia, malah prestasi semakin baik selepas Kejohanan Basikal Trek Asia (ACC) lalu.

“Saya tidak kata mudah memenangi pingat namun saya mampu melakukannya dan insya-Allah saya akan mencuba sehabis mungkin,” katanya.
Sekalipun acara kegemarannya keirin wanita tidak dipertandingkan kali ini, Fatehah percaya terhadap kemampuannya dalam ujian masa.

Sedar bakal menghadapi tentangan pelumba dunia lain dari Australia, New Zealand dan Britain, dia tetap berpendapat siapa yang menyerlah pada hari pertandingan akan berada di podium.
“Trek Veledrom Sir Chris Hoy ini cukup menarik, tapi mencabar. Saya sudah mencubanya semalam dan menggemarinya.

“Apapun tumpuan saya pada upacara pembukaan. Pemilihan ini satu penghormatan kepada saya dan skuad basikal trek negara.

“Ini penyertaan pertama saya di Sukan Komanwel dan kali pertama diberi tugas membawa Jalur Gemilang. Harapan saya agar semuanya berjalan lancar kelak,” ujarnya.

Sementara itu ketua jurulatih John Beasley menyifatkan prestasi Fatehah dalam ujian masa semakin meningkat.

“Fatehah akan membanggakan negara dan saya percaya dia boleh melakukannya.

“Dia sudah bekerja keras sebelum datang ke sini dan saya puas hari tahap pencapaiannya sekarang.

“Atas kegigihannya Fatehah berhak memenangi pingat dan saya jangka lawannya nanti bakal menerima tentangan sengit,” katanya.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment