Tuesday, July 22, 2014

2 emas 'berani' gimnastik


KUALA LUMPUR - Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) nampak lebih berani pada penyertaan Sukan Komanwel kali ini apabila menetapkan sasaran dua pingat emas bagi memperbaiki pencapaian empat tahun lalu di New Delhi.

Malah Setiausaha Kehormat MGF, N. Shanmugarajah turut optimis skuad gimnastik Malaysia kali ini mampu merealisasikan sasaran tersebut berikutan mempunyai atlet yang berpengalaman selain cemerlang di pentas antarabangsa.

Tambah Shanmugarajah, sasaran dua emas tersebut disandarkan dalam acara gimnastik berirama dan gimnastik artistik yang akan disertai atlet terbaik negara.

"Persiapan kami untuk menghadapi Sukan Komanwel pada kali ini adalah yang terbaik kerana semua atlet yang menyertai acara artistik telah berlatih di Manchester iaitu tempat kebanyakan atlet terbaik dunia berlatih.

"Saya juga percaya atlet berpengalaman seperti Tracie Ang, Farah Ann Abdul Hadi dan Nur Eli Alliana Azmi dapat menghadiahkan sesuatu buat negara pada Sukan Komanwel kali ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Empat tahun lalu gimnastik hanya mampu menyumbang satu pingat emas, satu perak dan tiga gangsa yang semuanya diraih oleh Elaine Koon.

Dalam pada itu, Shanmugarajah berkata, saingan dijangka berlangsung sengit kerana terdapat beberapa atlet handalan dunia terutama dari Kanada dan tuan rumah, Scotland.

"Kebiasaannya atlet gimnastik dari dua negara tersebut akan memanfaatkan peluang beraksi pada Sukan Komanwel dengan sebaiknya tambahan pula apabila bertemu lawan setaraf mereka.

"Jika tiada sebarang masalah dan semua atlet beraksi di tahap yang terbaik saya yakin semua halangan dapat di lalui dengan mudah. Paling penting semua atlet gimnastik perlu fokus dengan apa yang dilakukan," kata Shanmugarajah.
Acara gimnastik Sukan Komanwel 2014 dijadual bermula pada 24 Julai ini.

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment