Wednesday, May 14, 2014

Gerhana sebelum temasya Komanwel

MALANG terus menimpa skuad renang negara menjelang temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland Julai depan.

Selepas hanya mampu meraih tiket secara merit dalam acara 4x200 meter (m) gaya bebas lelaki, kem renang negara kini terpaksa melupakan khidmat perenang sensasi, Daniel Bego.
Daniel terpaksa menelan hakikat bahawa kecederaan bahu yang dialaminya akan menjadi penghalang untuk dia beraksi di pentas Sukan Komanwel kali ini.

Ketua jurulatih skuad renang, Paul Birmingham turut mengakui ketiadaan Daniel akibat kecederaan berulang itu sedikit sebanyak akan merencatkan kekuatan kuartet lelaki negara.
“Agak sukar tanpa Daniel (pada Sukan Komanwel 2014 di Incheon) tetapi kami akan tetap positif dan cuba mengatasi kesukaran ini tanpa kehadirannya.

“Buat masa ini, kami masih mempunyai tiga lagi perenang yang mampu mengisi kekosongan Daniel nanti,” ujar Birmingham telah bersama-sama skuad renang negara sejak enam tahun lalu.
Disoal mengenai pengganti terbaik Daniel, Birmingham menjelaskan, beliau tertarik dengan prestasi konsisten yang ditunjukkan oleh perenang muda, Vernon Lee.

Selain Vernon, Yeap Zheng Yang yang membantu kuartet negara memenangi pingat emas pada Sukan Perpaduan Islam di Indonesia tahun lalu turut berada dalam perhatian Birmingham.

“Mereka semua berada pada tahap terbaik ketika ini, malah catatan masa yang dilakukan pada Terbuka Malaysia baru-baru ini juga tidak menghampakan.

“Jadi, kita akan pilih antara yang terbaik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Daniel,” katanya.

Begitupun, Birmingham masih meletakkan harapan tinggi Daniel dapat beraksi semula pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan September depan.

Pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, Daniel mengetuai kuartet negara merekodkan masa 7 minit 27.32 saat (s) dalam acara 4x200m gaya bebas, sekali gus melepasi had kelayakan ke Sukan Komanwel 2014 secara merit.

Ketika itu, Daniel bergandingan bersama-sama pemenang pingat emas Sukan Remaja Asia, Lim Hing Hwang, Kevin Yeap dan Welson Sim.

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment