Monday, May 12, 2014

Cai Lin tak layak


Kuala Lumpur: Selamat tinggal Sukan Komanwel dan Sukan Asia buat ratu renang negara, Khoo Cai Lin apabila gagal menempah tiket secara merit ke dua temasya sukan itu selepas hanya mencatatkan masa 8 minit 54 saat dalam aksi final 800 meter gaya bebas wanita pada Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Bukit Jalil, semalam.

Walaupun berjaya memenangi pingat emas acara kegemarannya itu, catatan masa dilakarnya sama sekali jauh berbanding masa kelayakan ke Sukan Komanwel Glasgow, 8:45.00s.
“Saya kecewa kerana tidak dapat melayakkan diri ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Saya sudah lakukan yang terbaik sepanjang kejohanan ini, tapi masih belum dapat layak secara merit.
“Prestasi tidak begitu baik, mungkin kerana masih penat selepas acara 400m.

Pada 300m pertama semuanya lancar, tapi selepas masuk 500m terakhir saya berasa letih hingga terpaksa memperlahankan sedikit kuakan.

“Apapun secara keseluruhan, saya tetap puas hati walaupun tidak dapat melayakkan diri secara merit, saya harap ASUM (Kesatuan Renang Amatur Malaysia) dapat memberi tiket kategori B kepada saya,” katanya.

Dalam aksi final, Cai Lin menewaskan rakan sepasukan Nadia Adriana dan Raina Saumi dari Indonesia, masing-masing dengan catatan masa 9:09.41s dan 9:12.51s.

Sebelum itu, perenang berusia 25 tahun itu kurang bernasib baik apabila turut gagal melepasi had masa kelayakan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia bagi 400m gaya bebas apabila hanya terdaya melakukan 4:16.83s.

Jurulatih negara Paul Birmingham berkata, faktor keletihan antara penyebab utama mengapa anak didiknya itu gagal melepasi masa kelayakan.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment