Thursday, October 7, 2010

Gandingan bapa, anak bawa tuah


Benjamin Khor (kanan) dan bapanya, Edward meraikan kejayaan merangkul pingat gangsa acara menembak double trap di Lapangan Sasar Dr. Karni Singh, New Delhi semalam.


NEW DELHI - Gandingan bapa dan anak, Edward dan Benjamin Khor memberikan pingat menembak pertama Malaysia pada Sukan Komanwel XIX apabila meraih gangsa acara double trap lelaki, sebelum Bibiana Ng menambah gangsa kedua dalam saingan 25m pistol individu wanita, semalam. 

Gandingan Edward dan Benjamin meraih gangsa selepas mencatat 185 mata. Emas dimenangi pasangan England, Steven Scott dan Steven Walton yang mencatat 189 mata, yang juga rekod kejohanan. Asher Noria dan Ranjan Sodhi dari India kedua dengan 188 mata.

Dalam satu lagi aksi tumpuan di Lapang Sasar Dr Karni, Bibiana menamatkan cabaran di tempat ketiga selepas mengumpul 778.2 mata. Gangsa tersebut menebus kegagalannya meraih pingat dalam acara 25m pistol berpasangan bersama Siti Nur Masitah kelmarin.


Sementara itu Sukan Komanwel XIX merupakan percubaan pertama Edward berganding dengan anaknya pada kejohanan antarabangsa. Benjamin, 17, mengikut jejak bapanya apabila mula aktif dalam sukan tersebut sejak tiga tahun lalu.

"Harap prestasi di sini akan membantu kami dipilih untuk membawa cabaran Sukan Asia. Kami gembira memenangi pingat, apatah lagi ia adalah pingat pertama negara dalam acara ini di peringkat Sukan Komanwel.
Benjamin kini adalah penembak No. 1 negara dalam acara trap, mengambil alih posisi bapanya tahun lalu.
"Dia (Benjamin) cepat meningkat, dia cepat belajar. Saya pasti pencapaian di sini akan meningkatkan lagi moralnya.

''Kepuasan sebenar bagi ialah mengalahkan pasangan Australia kerana mereka adalah penembak pilihan," katanya.

Gandingan negara itu mengatasi Australia hanya dengan satu mata.
Edward dan Benjamin akan beraksi lagi dalam acara trap individu hari ini dan berharap untuk mencipta satu lagi keputusan mengejut dari lapangan sasar. - Utusan

No comments:

Post a Comment