Friday, October 1, 2010

Chu Sian lebih takutkan pertandingan


Arif Farhan Ibrahim Putra (tengah) dan Cheng Chu Sian (kanan) menjadi sandaran skuad pemanah negara dalam acara recurve berpasukan di temasya Delhi XIX.


KUALA LUMPUR - Pengalaman sukar di beberapa kejohanan luar negara sebelum ini menjadi azimat buat pemanah harapan emas, Cheng Chu Sian yang berwaspada untuk berdepan situasi lebih buruk di Temasya Komanwel XIX di New Delhi.

Chu Sian, 24, berkata, berada di Delhi nanti mungkin menjadi situasi lebih sukar bukan sahaja tekanan persiapan India selaku tuan rumah, malah pertarungan dalam acara memanah itu sendiri.

"Saya mendengar banyak isu yang dibangkitkan di New Delhi, namun jika berkaitan dengan lokasi pertandingan iaitu di Kompleks Sukan Yamuna, ia tidak banyak perlu diperkatakan kerana saya pernah berada di tempat itu.

"Apa membimbangkan saya adalah persediaan peribadi seperti mental dan fizikal ketika acara berlangsung dan juga keadaan cuaca yang akan memberi pengaruh besar terhadap sasaran saya. nanti.
"Namun begitu, sebelum ini pun saya pernah melalui pengalaman yang lebih buruk, oleh itu saya kena bersedia untuk perkara lebih teruk daripada itu," katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke New Delhi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.


Pemanah paling konsisten negara itu berlepas ke New Delhi dengan membawa bekalan terakhir latihan dari Korea Selatan.

Chu Sian menjadi teraju utama skuad bimbingan jurulatih dari Korea, Lee Jae Hyung bagi mengalas tanggungjawab membawa pulang satu pingat emas buat negara.

Sementara itu, ditanya tentang harapannya dalam acara recurve berpasukan, Chu Sian mengharapkan gandingannya dengan Arif Farhan Ibrahim Putra dan Muhammad Izzudin Abdul Rahim akan membuahkan hasil.

"Saya telah lama bersama dengan Arif Farhan tetapi masih baru dengan Izzudin, namun itu tidak menjadi masalah, kerana dia dilihat konsisten.

"Saya tidak begitu tertekan pada acara berpasukan ini kerana keserasian kami bertiga telah dibina sejak Kejohanan Piala Dunia di Shanghai, Ogos lalu dan latihan di Korea Selatan, baru-baru ini," jelasnya.

Selain Chu Sian, tahun ini, kesemua skuad memanah negara antaranya Arif Farhan, S. Anbarasi, Mohd. Zaki Mahazan dan Lang Hong Keong diberi pendedahan serius oleh Jae Hyung dengan menyertai empat siri Piala Dunia iaitu di Porec (Croatia), Antalya (Turki), Ogden (Amerika Syarikat) dan Shanghai (China), bagi memburu kecemerlangan pada temasya Komanwel dan Sukan Asia

Oleh Ilah Hafiz Aziz
hafiz.aziz@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment