Friday, October 1, 2010

Chong Wei harap tuah Terbuka Jepun

SUBANG JAYA - Pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei (gambar) mengharapkan kecemerlangan menjuarai Terbuka Jepun hujung minggu lalu dapat diteruskan pada Sukan Komanwel di New Delhi dengan memenangi pingat emas.

Menurut Chong Wei, pemain yang bakal menghalang hasratnya di India nanti sudah tentu, rakan senegara, Muhammad Hafiz Hashim, manakala pemain tuan rumah turut dijangka memberi tentangan sengit berikutan beraksi di tempat sendiri.

"Saya melihatkan halangan bakal dilakukan oleh rakan senegara terutama sekali Hafiz, tidak ada orang lain lagi, namun pemain Indian seperti Parupalli Kashyap dan Chetan Anand perlu diberi perhatian, tidak boleh dipandang rendah," katanya pada sidang media selepas Majlis Demonstrasi Memasak bersama Samsung di Cilantro Culinary Academy semalam.

Jelasnya, walau siapa pun lawan yang bakal ditentang di Sukan Komanwel, dia seharusnya tidak boleh memandang rendah terhadap pemain tersebut apa yang penting ialah fokus terhadap diri sendiri.
"Pemain India sudah tentu akan menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri, saya harap mereka tidak beraksi seperti 'dirasuk hantu', apa pun saya tidak mahu fikir tentang pemain lawan biarlah saya fikir tentang persiapan saya sendiri.

"Banyak perkara yang perlu saya fikirkan selain dari memikirkan tentang pihak lawan, ia termasuk keadaan dan persekitaran di sana, saya ada bercakap dengan Koo Kien Kiat sebentar tadi, katanya semuanya tidak ada masalah di sana, kecuali tentang pemakanan, jadi saya kena sentiasa berhati-hati," katanya.
Kata Chong Wei, rehat yang diberikan iaitu sedikit panjang berbanding rakan-rakan lain yang sudah berlepas ke New Delhi Selasa lalu, memberikan dia sedikit peluang untuk memulihkan tenaga sebelum turun ke gelanggang.

"Bukan mudah tentu saya mengekalkan prestasi saya di puncak, tambah lagi ketiga-tiga kejohanan ini, Terbuka Jepun, Sukan Komanwel dan Sukan Asia berlangsung secara berturut-turut. Kalau boleh sudah tentu saya mahu membolot semua kejayaan selepas cemerlang di Terbuka Jepaun.

"Bagaimanapun saingan di Sukan Asia Guangzhou sudah tentu sukar, namun saya tidak boleh mengalah begitu sahaja saya akan pastikan dapat mengekalkan prestasi hanya yang terbaik untuk rakyat Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)," kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.


Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment