Monday, October 4, 2010

Buruan 10 emas bermula


UPACARA perasmian Sukan Komanwel XIX yang diadakan penuh gilang-gemilang dan warna-warni di Stadium Utama Jawaharlal Nehru, New Delhi, semalam. Dianggarkan 7,000 atlet dan pegawai daripada 71 negara membanjiri temasya kali ini. - AFP


NEW DELHI - Temasya Sukan Komanwel XIX bermula hari ini, apabila atlet negara memulakan misi memburu 10 pingat emas yang disasarkan, iaitu pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan yang berlangsung di luar negara sendiri.
Kontinjen negara membariskan 201 atlet terbaik dalam 14 acara pada temasya kali ini.
Harapan emas pertama kontinjen negara bermula hari ini, apabila badang negara, Amirul Hamizan Ibrahim beraksi dalam acara angkat berat kelas 56 kilogram di Kompleks Sukan Jawaharlal Nehru, malam ini waktu Malaysia.

Peluang emas tetap ada, namun Amirul harus berwaspada dengan tentangan sengit dari peserta tuan rumah, yang bukan sahaja memiliki kelebihan prestasi, tetapi juga sokongan padu penonton mereka sendiri.
Lubuk emas kontinjen negara pastinya menerusi acara skuasy wanita dengan sandaran utama di bahu pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David.


Malaysia meletakan harapan di bahu empat pemain wanita dan empat pemain lelaki untuk cuba menyapu bersih emas acara skuasy.

Saingan wanita diterajui Nicol, Low Wee Wern, Sharon Wee dan Delia Arnold manakala Mohd. Azlan Iskandar menerajui saingan lelaki bersama-sama Ong Beng Hee, Mohd. Nafiizwan Adnan dan Yuen Chee Wern.

Harapan emas turut disandarkan kepada jaguh basikal trek acara keirin, Azizulhasni Awang.
Berada pada kedudukan No. 2 dunia dalam acara keirin Azizulhasni berada pada kedudukan terbaik untuk menguasai acara tersebut, berikutan penarikan diri jaguh acara tersebut, Chris Hoy dari Britain.
Azizulhasni diramal mendapat sokongan penonton tempatan, kerana dia popular di sini.
Namanya amat dikenali di kalangan wartawan di sini, yang sering bertanyakan kepada pegawai Malaysia mengenai perkembangan terkini pelumba yang kini menjalani latihan di Australia itu.
Acara basikal trek akan bermula esok di Kompleks Sukan Indira Ghandi.

Jika atlet lain memburu emas pertama pada Sukan Komanwel, atlet boling padang negara, Siti Zalina Ahmad memburu emas hatrik pada temasya kali ini.
Selepas memenangi emas pada dua Sukan Komanwel lalu, Siti Zalina mahu mencipta rekod atlet pertama yang memenangi hatrik emas di peringkat Sukan Komanwel.

Cabaran Siti Zalina akan bermula hari ini di Kompleks Sukan Jawaharlal Nehru.
Badminton merupakan satu lagi lubuk emas buat kontinjen negara. Datuk Lee Chong Wei yang masih segar dengan kejayaan menumbangkan musuh ketatnya, jaguh China Lin Dan pada final Terbuka Jepun, tidak berdepan halangan besar dalam meraih emas.

Cabaran badminton negara turut digalas Muhammad Hafiz Hashim, beregu Tan Boon Heong-Koo Kien Keat.

Acara terjun juga berpotensi menjelmakan emas menerusi penerjun berpengalaman, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong, yang memenangi dua pingat perak pada sukan Olimpik Remaja baru-baru ini.
Acara lelaki juga mempertaruhkan penerjun terbaik negara, Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee.
Dalam keghairahan memburu emas menerusi acara yang sememangnya dikuasai atlet negara, acara lain seperti hoki tidak meletakan sasaran tinggi, sebaliknya sekadar menjadikan Sukan Komanwel sebagai medan menguji kekuatan, sebelum menggapai misi sebenar pingat emas pada Sukan Asia bulan depan.
Kepada atlet negara, inilah masanya untuk mereka menjelmakan hasil setelah empat tahun mengadakan persiapan yang menelan belanja jutaan ringgit.

Kini rakyat Malaysia menagih apa yang disasarkan dengan harapan menggunung supaya mereka memberikan yang terbaik. - Utusan

No comments:

Post a Comment