Tuesday, October 20, 2009

PLBM Sasar Pertahankan Dua Emas Pada Sukan Komanwel 2010

LANGKAWI, 18 Okt (Bernama) -- Persekutuan Lawn Bowl Malaysia (PLBM) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dapat mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi pada Sukan Komanwel 2010 di India.

Setiausaha Agung PLBM, Ramble Dallan Rice Oxley berkata, atlet-atlet boling padang negara kini memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi temasya sukan itu yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober 2010 di New Delhi.

"Bagaimanapun Malaysia berharap dapat meraih pingat lebih dari itu dan akan menghantar dua belas pemain terdiri daripada enam lelaki dan enam perempuan untuk membawa cabaran negara pada Sukan Komanwel di India tahun depan" katanya yang ditemui pada kejohanan Boling Padang Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Ketika Sukan Komanwel 2006 di Melbourne, Australia, Malaysia meraih dua pingat emas menerusi acara individu wanita menerusi Siti Zalina Ahmad dan trio wanita menerusi gandingan Nor Hashimah Ismail, Azlina Arshad dan Nor Iryani Azmi.

Sementara itu, skuad pelapis negara mengungguli kejohanan Boling Padang Antarabangsa Malaysia apabila meraih satu pingat emas dan satu pingat perak untuk menjulang Piala Mahsuri bagi kategori beregu campuran.

Skuad pelapis Malaysia C yang diwakili oleh Ramble Dallan dan Ku Nor Hazirah Ku Yaakob memenangi emas dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,800 setelah berjaya mengalahkan pelapis Malaysia B di perlawanan akhir dengan keputusan 16-9.

Skuad pelapis Malaysia B yang diwakili Mohamad Fairus Abd Jabal dan Zuraini Khalid meraih perak dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,900.

Pasukan Singapura yang diwakili oleh Shermeen Lim dan Chiristian Huang memenangi kategori Plate selepas menumpaskan pasukan Briged Tenggara yang diwakili oleh pasangan Abdul Latif Jalil dan Raziah Abd Razak dengan catatan mata 14-8.

Sebanyak 81 pasukan termasuk dari Brunei dan Singapura menyertai kejohanan lima hari yang dianjurkan bersama oleh PLBM dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment