Wednesday, August 6, 2014

Pemilihan Pemain Di Tangan Jurulatih - Tengku Mahaleel


SEPANG, 5 Ogos (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Selasa menjelaskan persatuan itu tidak boleh disalahkan ekoran persembahan hambar pemain perseorangan lelaki di Sukan Komanwel baru-baru ini.

Ini kerana pemilihan pemain adalah keputusan jurulatih dan bukan persatuan, kata Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Beliau berkata BAM tidak mencampuri urusan pemilihan pemain Liew Darren untuk disenaraikan ke Glasgow, Scotland bagi menggantikan slot Datuk Lee Chong Wei yang cedera.

Katanya, keputusan itu adalah atas cadangan barisan kejurulatihan skuad badminton kebangsaan yang diketuai Rashid Sidek.

"Kita telah mempersoalkan adakah Liew Darren telah diberikan keberatan (penumpuan) untuk mengubahsuai dari segi mental. Kalau coach kata sudah, siapa saya.

"Kita (BAM) hanya committee bukan individu yang melatih mereka (pemain) hari-hari. Kita sudah soal coach adakah pemain ini diberi pembaikan dari segi kelemahannya dan coach kata sudah.

"Kita kena percaya coach sebab tiap-tiap hari dia mengajar (melatih) pemain," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian berikutan kritikan pedas beberapa pihak termasuk Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang kecewa dengan aksi longlai pemain perseorangan lelaki dalam misi memburu pingat emas di Sukan Komanwel itu.

Liew dikritik hebat berikutan kekalahan mudah kepada pemain Kashyap Parupalli dari India di peringkat suku akhir acara perseorangan lelaki.

Dalam pada itu, Tengku Mahaleel berkata para pemain telah mempamerkan persembahan memberansangkan apabila berjaya meraih tiga pingat emas, termasuk kejutan daripada pasangan beregu wanita Vivian Kah Mun Hoo/Khe Wei Woon.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kesemua pemain dan jurulatih agar tidak terlalu selesa dengan kemenangan di Sukan Komanwel kerana lawan mereka di Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan sedang 'memerhatikan' kemenangan itu.

Ditanya mengenai kedudukan Liew Darren yang mungkin tidak disenaraikan pada temasya Sukan Asia nanti, Tengku Mahaleel berkata keputusan itu terletak di tangan barisan kejurulatihan.

"Semua player bermain untuk negara, kita kena hormat mereka. Memang kebiasaan, kadang-kala menang kadang-kala kalah begitu juga dengan Datuk Lee Chong Wei yang ada ketika cedera.

"Kita tidak boleh terus menyalahkan mereka (pemain yang kalah) kerana ia boleh menyebabkan mereka 'down' dan bila sudah 'down', ia susah untuk pulih," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment