Wednesday, August 6, 2014

‘Malas saya nak layan’


Kuala Lumpur: “Beliau sudah lupakah apa yang berlaku semasa menjadi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN)?

Itu pertanyaan Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong terhadap kegusaran dilontarkan Datuk Wira Mazlan Ahmad dengan pencapaian kontinjen negara selepas sekadar meraih enam pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2014 yang berakhir baru-baru ini.

“Saya nak tanya Mazlan, semasa beliau menjadi Ketua Pengarah MSN, perkara seperti ini tidak pernah berlaku? “Jadi kenapa pencapaian kontinjen negara yang meraih 111 emas di Sukan SEA 2001 merudum kepada 43 emas di Vietnam pada 2003, berapa peratus pula emas yang hilang?

“Pada Sukan Komanwel 1998 kita meraih 10 emas namun 2002 dan 2006 kenapa kita sekadar meraih tujuh emas, kenapa tiada peningkatan?

“Malah di Sukan Olimpik Atlanta, kontinjen negara meraih 1 perak dan 1 gangsa, jadi kenapa di Sydney 2000 dan Athens 2004 tiada sebarang pingat diperoleh, tolong jelaskan?” kata Zolkples yang tiba di Kuala Lumpur awal pagi semalam selepas berada di Glasgow bersama kontinjen negara sepanjang temasya berkenaan berlangsung.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Mazlan yang juga bekas Ketua Pengarah MSN menyifatkan pencapaian enam emas, tujuh perak dan enam gangsa sebagai membimbangkan kerana ia adalah penurunan 50 peratus berbanding 12 emas yang diraih empat tahun lalu di New Delhi.

FotoZOLKPLES (dua dari kanan) ketika tiba dari Glasgow, semalam.
“Kita melakar pencapaian terbaik di Sukan Asia dan Komanwel pada 2010, pernahkah beliau puji? Pada 2008, kontinjen negara memenangi perak disusuli tambahan satu gangsa menerusi Pandelela Rinong dalam acara terjun (sukan pertama selain badminton yang menyumbang pingat kepada negara di Olimpik), pernahkah beliau puji?

“Saya sebenarnya malas nak layan kerana banyak tugas yang perlu dilaksanakan terutamanya bagi menghadapi Sukan Asia tetapi nampaknya niatnya tidak baik, bukan untuk membantu tapi menghentam. Beliau pernah mengalami kegagalan seperti ini dulu. Tindakannya dilihat mahu menjatuhkan MSN dan mencari kesalahan sedangkan perkara ini ada pasang-surut,” kata Zolkples.

Mengenai cadangan Mazlan yang mengesyorkan audit terhadap pengurusan program latihan atlet dilakukan susulan kegagalan mencapai sasaran tujuh emas yang ditetapkan, Zolkples menambah MSN tidak mempunyai masalah dan terpulang kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memutuskannya selain menjelaskan sudah menyerahkan laporan prestasi atlet negara di Glasgow.


Oleh Azlan Muhammad Zain - Arena Harian Metro

No comments:

Post a Comment