Friday, July 18, 2014

Zolkples Kecewa Dengan Kenyataan Mazlan Berhubung Sasaran Pingat


KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) kesal dengan kenyataan Panel Penasihat Sukan (PPS) Datuk Wira Mazlan Ahmad yang mempersoalkan sasaran tujuh pingat emas kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zolkples Embong menyifatkan kenyataan Mazlan itu boleh menjejaskan semangat atlet negara pada temasya berkenaan yang bermula 23 Julai ini.

"Dia (Mazlan) tidak ada apa-apa sumbangan selain daripada mengkritik dan mencadang itu dan ini. Tindakannya juga menunjukan bahawa beliau seolah-olah tidak gembira dan cemburu kerana dengan kejayaan kita hampir memadam semua rekod pencapaian beliau yang terdahulu ketika menerajui MSN," katanya kepada Bernama Khamis.

Zolkples berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik tindakan bekas Ketua Pengarah MSN itu mempersoalkan peruntukan khusus RM15 juta yang diumumkan kerajaan menerusi Bajet 2013 adalah tidak berbaloi dengan sasaran tujuh pingat emas.

Mazlan dipetik sebagai mempersoalkan tindakan Zolkples yang mempertahankan sasaran tujuh pingat emas iaitu pengurangan lima pingat emas berbanding pencapaian edisi 2010 di New Delhi, India yang menyaksikan Malaysia meraih 12 pingat emas.

Zolkples turut menasihatkan Mazlan untuk membantu MSN dengan memberikan cadangan bernas dalam meningkatkan prestasi sukan negara yang dikatakan agak merosot dalam beberapa temasya sukan terdahulu.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment