Wednesday, July 9, 2014

Skuad Hoki Beraksi Di Sukan Komanwel Untuk Pemanas Badan

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Skuad hoki kebangsaan mengambil peluang beraksi dalam Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Scotland yang bermula 23 Julai ini, sebagai pemanas badan sebelum bersaing di Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, Oktober ini.

Ketua jurulatih hoki kebangsaan Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata pemain yang tidak turut serta dalam kejohanan Piala Dunia akan diberikan peluang untuk menunjukkan bakat di Sukan Komanwel bagi melayakkan diri ke Sukan Asia.

Sasaran kini tertumpu kepada final Sukan Asia bagi merebut slot secara automatik ke Sukan Olimpik 2016 di Rio De Janeiro, Brazil.

"Kita mahu beri peluang kepada beberapa pemain senior yang tidak bermain pada Piala Dunia tempoh hari untuk membuktikan mereka layak dipilih mewakili negara ke Korea Selatan," katanya kepada pemberita di Stadium Hoki Bukit Jalil, di sini Selasa.

Katanya, skuad hoki kebangsaan bakal menerima saingan hebat daripada pasukan seperti Australia, New Zealand dan England di Sukan Komanwel nanti.

Bagaimanapun, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam masa sama tidak meletakkan sebarang sasaran pingat ke atas skuad kendalian ketua jurulatih kebangsaan itu.

Dharma Raj percaya ketiadaan sasaran pingat itu bukan disebabkan kekalahan mereka pada Piala Dunia di The Hague, Belanda, Mei lepas.

Untuk rekod, Malaysia meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel edisi 2006 di Melbourne, Australia.

Bagi Sukan Asia skuad hoki Malaysia meraih pingat gangsa pada Sukan Asia edisi 2002 di Busan, Korea Selatan dan perak di Guangzhou pada 2010.

"Kekalahan pada Piala Dunia bukan penyebab kita tidak letakkan sebarang sasaran pingat.. sebaliknya kita kena realistik dan kita tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada pemain.

"Saya percaya mereka akan bersaing dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin untuk menang. Semua orang mahu menang, termasuk saya. Kalau boleh saya mahu menang semua perlawanan," katanya.

Tegasnya, beliau tidak menganggap kekalahan itu menunjukkan prestasi buruk skuad kendaliannya sebaliknya beliau mengambil iktibar daripada perlawanan di Piala Dunia selepas 12 tahun tidak tercalon sebagai pemangkin untuk terus melayakkan diri ke Piala Dunia pada masa akan datang.

"Tidak mudah untuk menang perlawanan peringkat dunia selepas 12 tahun tidak melayakkan diri ke temasya itu, mereka perlukan masa serta pendedahan yang lebih untuk menunjukkan prestasi cemerlang mereka," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment