Monday, July 21, 2014

Norovirus cetus keresahan


ANGGOTA pasukan badminton negara berkumpul di Perkampungan Sukan Komanwel sebelum dibawa ke gelanggang latihan di Glasgow semalam.


KUALA LUMPUR - Wabak norovirus yang kini menular di Perkampungan Atlet Sukan Komanwel, Glasgow membuatkan atlet Malaysia yang telah berada di sana lebih berjaga-jaga.

Media Britain melaporkan, virus berkenaan telah menyerang Perkampungan Atlet dan hingga kelmarin sebanyak 53 orang pekerja diserang wabak berkenaan, 18 daripadanya kakitangan keselamatan, kata pegawai kesihatan temasya.

Mereka yang dijangkiti norovirus akan mengalami cirit birit, muntah-muntah dan lemah badan, bagaimanapun sehingga semalam tiada sebarang kes melibatkan atlet dilaporkan berlaku.

Bagi wakil negara yang sudah mendaftar masuk ke Perkampungan Sukan, biarpun virus berkenaan menimbulkan keresahan tetapi tidak menganggu persiapan mereka, apatah lagi belum ada atlet yang dijangkiti virus yang dipercayai berpunca daripada pemakanan dan persekitaran kurang bersih.

Atlet angkat berat negara, Mohd. Hafifi Mansor yang tiba di Perkampungan Atlet tersebut sejak lima hari lalu berkata, pihak penganjur telah menekankan aspek kebersihan terutama di kawasan dewan makan atlet.

"Di Perkampungan Sukan ini makanan atlet dan pekerja di sini diasingkan, mungkin itu sebabnya kualiti kebersihan di tempat makan kami sentiasa dalam keadaan terjaga.

"Diharap virus tersebut tidak mengganggu atlet di sini kerana kehadiran kami semua di sini adalah untuk bertanding dengan tenang tanpa gangguan sebarang penyakit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ketua jurulatih badminton perseorangan negara, Rashid Sidek pula berkata, semua pemainnya ketika ini tidak mengalami apa-apa masalah kesihatan, selain tidak mendengar sebarang berita mengenai wabak tersebut sejak tiba di Perkampungan Atlet kelmarin.

"Setakat ini, semua dalam keadaan baik dan makanan juga bagus.
"Buat masa ini tiada kebimbangan terhadap virus tersebut, malah kami belum mendengar sebarang maklumat daripada penganjur berhubung norovirus.

"Malah, semua pemain Malaysia sudah memulakan latihan pertama mereka hari ini (semalam) sejak tiba di Glasgow semalam (kelmarin)," kata Rashid.

Bagi jurulatih pasukan hoki negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah yang tiba di Perkampungan Atlet sejak minggu lalu, semua pemainnya berada pada tahap terbaik.

"Semua pemain sihat dan tiada apa-apa masalah kesihatan," kata Muhammad Dharma.

Sukan Komanwel akan berlangsung secara rasmi pada Rabu ini dan dijadual berakhir 3 Ogos depan.
Kelmarin, Menteri Pertama Scotland, Alex Salmond menegaskan bahawa pihak berkuasa telah mengesan punca kepada tersebarnya wabak dipercayai norovirus yang melanda Perkampungan Sukan Komanwel.

No comments:

Post a Comment