Tuesday, July 8, 2014

MSN Tidak Sandar Pingat Untuk Skuad Paralimpik Di Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) tidak meletakkan sasaran pingat untuk tujuh atlet paralimpik yang akan menyertai kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, bermula 23 Julai ini.

Pengarah Cawangan Paralimpik MSN Mohd Safrushahar Yusoff berkata pihaknya enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi memandangkan acara sukan yang dipertandingkan bukanlah kekuatan atlet paralimpik negara.

"Harapan tetap ada tapi kami tak mahu sasar terlalu tinggi hingga memberi tekanan kepada atlet.

"Kita tetap menghantar wakil ke Glasgow atas dasar menghormati negara lain dan pada masa sama kita cuba yang terbaik," katanya kepada Bernama hari ini.

Lima atlet paralimpik akan menggalas cabaran negara bagi acara boling padang, manakala dua lagi dalam acara powerlifting.

Mohd Safrushahar berkata Sukan Komanwel kali ini akan menjadi medan menimba pengalaman bagi dua atlet powerlifting, Jong Yee Khe (97 kg) dan Mohd Shahmil Md Saad (107 kg), sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik di Rio de Janiero, Brazil pada 2016.

"Dua atlet ini berpotensi untuk 2016, jadi Sukan Komanwel Glasgow ini adalah satu pendedahan kepada mereka untuk menyertai acara sukan berprestij memandangkan tidak banyak kejohanan powerlifting peringkat antarabangsa yang dianjurkan," katanya.

Bagi acara boling padang pula tidak banyak yang boleh diharapkan lebih-lebih lagi kategori yang dipertandingkan bukan kekuatan atlet negara.

"Boling padang kita kuat bagi kategori perseorangan lelaki dan wanita tetapi kali ini tuan rumah tidak mempertandingkan kedua-dua kategori itu.

"Acara boling padang yang dipertandingkan adalah beregu campuran kategori B2 (partially blind), sedangkan kekuatan kita adalah dalam kategori B1 (totally blind)," katanya.

Lima atlet paralimpik bagi acara boling padang ialah Mohd Abdillah Rashid dan Siti Eleeni Ibrahim (Pairs Campuran) serta Rattna Aizah Idris, Shahidon Hanafiah dan Ahmad Rashidi Talib (Triples Terbuka).

Pada Sukan Komanwel Delhi 2010, skuad paralimpik negara gagal membawa pulang sebarang pingat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment