Thursday, July 24, 2014

Masih relevankah Sukan Komanwel?


GLASGOW - Soalan ini sering ditanya pada setiap Sukan Komanwel: Apakah relevannya sebuah acara yang diadakan empat tahun sekali yang sering kali gagal menarik atlet terbaik mahu pun jumlah penonton yang ramai?

Kali ini, persoalan itu menjadi lebih serius memandangkan kos penganjuran yang tinggi untuk Olimpik - kejohanan teragung dalam temasya sukan pelbagai acara. Semalam Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) yang menganjurkan kejohanan sukan antara bekas negara-negara di bawah Empayar British ini, berkata selepas mesyuarat dua hari bahawa mereka akan meneliti semula jumlah sukan dalam temasya akan datang.

Seperti IOC, mereka juga akan cuba untuk memastikan pembidaan tidak akan terkeluar daripada jangkauan bandar raya atau negara yang berhasrat untuk menjadi tuan rumah.

"Sangat penting untuk memastikan yang skop dan saiz temasya, dan jumlah sukan yang kita ada, mengekalkan temasya ini mampu dianjurkan oleh bandar raya atau negara yang membida," kata Mike Hooper, ketua eksekutif CGF yang hampir menamatkan tempoh perkhidmatannya.

Bulan ini Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengekalkan tiga bandar raya yang telah menyuarakan hasrat untuk membida Olimpik Musim Sejuk 2022 selepas penarikan diri tiga calon, kebanyakannya disebabkan oleh kebimbangan mengenai kos menganjurkannya.

Sukan Komanwel menghadapi masalah sama kerana tidak ramai yang berminat untuk menganjurkan temasya berikutnya. Gold Coast di utara Brisbane, Australia, memenangi hak tuan rumah pada 2018 setelah menewaskan satu-satunya lagi pencabar iaitu Hambantota, Sri Lanka.

Durban, Afrika Selatan dan Edmonton, Kanada adalah dua bandar raya yang setakat ini berminat untuk menganjurkan temasya 2022. Bidaan terakhir harus didaftarkan pada Mac tahun depan, dan satu keputusan akan dibuat pada September 2015.

Pengerusi jawatankuasa bidaan Edmonton, Reg Miley berkata semalam dia tidak was-was mengenai relevannya Sukan Komanwel.

Katanya, apabila temasya ini kali terkahir diadakan di Edmonton pada 1978, mereka menarik kehadiran 1,400 atlet.
Untuk temasya di Glasgow sebanyak 7,300 atlet akan bersaing, menjadikannya terbesar dalam sejarah Sukan Komanwel.

"Saya melihat dua statistik yang membuatkan saya terkejut - satu pertiga daripada populasi dunia berada di negara-negara Komanwel. Dan lebih daripada 50 peratus daripadanya berusia di bawah 25 tahun. Jadi di situlah letaknya masa depan kita," katanya.

Seperti kebiasaan Sukan Komanwel mengalami isu berhubung atlet-atlet bertaraf bintang. Jaguh pecut dunia Usain Bolt adalah nama terbesar di sini, tetapi dia hanya mewakili Jamaica dalam acara 4x100 meter berganti-ganti.

Mo Farah, yang memenangi acara 5,000 dan 10,000 meter buat Britain dalam Olimpik London 2012, dijadualkan menyertai kedua-dua acara.

Presiden Persatuan Olimpik Bermuda, Judy Simons semalam berkata kekurangan atlet profil tinggi mungkin memberikan peluang lebih adil kepada negara-negara yang kurang penduduknya.

Sukan Komanwel selalunya memasukkan sukan seperti boling padang dan bola jaring, yang bukan sebahagian daripada program Olimpik.

"Ini memberi negara-negara kecil peluang untuk menampilkan atlet-atlet mereka dalam satu pertandingan yang berbeza daripada Olimpik. Awak akan kalah teruk jika ke Olimpik," kata Simons.
Ahli Jawatankuasa Olimpik Papua New Guinea, John Dawanincura memiliki satu jawapan ringkas untuk pengkritik Sukan Komanwel.

"Ramai orang mempunyai pendapat sendiri, tetapi mengumpulkan 71 negara di sini adalah satu bukti bahawa hampir semua orang menyokong. Kami adalah keluarga negara-negara, dan saya harap kami dapat mengekalkan ini selama-lamanya," katanya. - AGENSI

Artikel Penuh: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment