Friday, July 18, 2014

Latihan pusat tak relevan


KUALA LUMPUR - Kem latihan pusat yang selama ini menjadi persiapan akhir atlet negara sebelum beraksi pada temasya besar dilihat tidak lagi relevan.

Selepas konsep latihan tersebut tidak digunakan bagi persiapan Sukan Komanwel, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak menolak, ia juga mungkin diketepikan untuk Sukan Asia di Incheon, 19 September hingga 4 Oktober ini.

Katanya, sebaiknya setiap kontinjen menjalani latihan di lokasi yang memiliki kepakaran untuk acara yang disertai .

"Kaedah ini bukan bertujuan untuk menjimatkan kos tetapi lebih baik atlet menjalani latihan di tempat yang memiliki kepakaran dalam acara itu.

"Contoh (Datuk) Nicol (David) menjalani latihan di Belanda, skuad berbasikal berlatih di Melbourne, Australia, manakala renang dan terjun di China.

"Menerusi kaedah ini atlet tidak perlu balik ke sini untuk menjalani latihan berpusat seperti sebelum ini.

"Pendekatan ini juga akan digunakan bagi atlet yang akan menyertai Sukan Asia, mereka boleh menjalani latihan di mana sahaja lokasi yang menyediakan kepakaran untuk mereka," katanya ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa di ibu pejabat Utusan di sini semalam.

Sementara itu, Khairy tetap mempertahankan bahawa sasaran tujuh pingat emas di Sukan Komanwel XX di Glasgow, Scotland adalah realistik.

Malah, tidak mustahil kontinjen negara mampu pulang dengan melepasi sasaran yang ditetapkan.
Katanya, selepas mengambil kira beberapa siri Sukan Komanwel yang disertai negara sebelum ini, Malaysia berjaya meraih purata di antara tujuh hingga lapan pingat emas sahaja.

"Tujuh pingat emas merupakan sasaran realistik, berdasarkan penyertaan negara dalam beberapa siri sebelum ini purata emas yang kita perolehi ada dalam tujuh atau lapan sahaja.

"Pencapai 12 pingat emas di New Delhi sebelum ini adalah sesuatu yang luar biasa, lebih baik diletakkan sasaran yang realistik supaya ia mampu dicapai," katanya.

Berdasarkan pencapaian pada beberapa temasya lalu, penyumbang pingat emas Malaysia dijangka hadir daripada sukan terjun, badminton, angkat berat, boling padang, menembak, berbasikal trek dan skuasy.

Menembak dan tinju pula merupakan acara yang dianggap mampu membuat kejutan.
Malaysia yang membawa 135 atlet elit, lima atlet pelapis dan 30 atlet luar program (104 lelaki dan 75 wanita) ke Glasgow, akan mengambil bahagian dalam 130 acara dan bersaing dengan 70 negara lain.
Oleh NOR AZAN FITRI
AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20140717/su_01/Latihan-pusat-tak-relevan#ixzz37nzGfDdp

No comments:

Post a Comment