Tuesday, July 22, 2014

Elak ambil makanan, minuman terdedah

KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz mengingatkan atlet negara supaya tidak sesekali mengambil makanan atau minuman yang terdedah untuk mengelak daripada dijangkiti norovirus yang kini menular di Perkampungan Atlet Sukan Komanwel, Glasgow.

Menurut Dr. Ramlan, atlet diminta mengambil makanan atau pun minuman yang benar-benar terjamin kebersihannya bagi mengelak mereka ditimpa masalah kesihatan seperti cirit-birit yang mampu menjejaskan prestasi.

"Kalau boleh elak daripada mengambil buah-buahan, sayur-sayuran atau minuman yang telah terdedah. Atlet perlu pastikan botol minuman yang mereka minum ditutup rapat dan masih belum dibuka oleh orang lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai wabak norovirus yang sedang menular di Perkampungan Atlet dan sehingga Sabtu lalu, seramai 53 orang pekerja di perkampungan berkenaan diserang virus tersebut, 18 daripadanya kakitangan keselamatan.

Mereka yang dijangkiti norovirus akan mengalami cirit birit, muntah-muntah dan lemah badan, bagaimanapun sehingga kelmarin tiada sebarang kes melibatkan atlet dilaporkan berlaku.

Dr. Ramlan turut mengingatkan atlet agar tidak menerima bekalan makanan daripada individu yang tidak dikenali kerana mereka tidak tahu sejauh mana tahap kebersihan makanan tersebut.
"Saya rasa makanan di perkampungan sukan lebih selamat berbanding di luar kerana sumber makanan di luar kita tak tahu datang dari mana.

"Makanan juga perlu dibungkus dengan elok dan tidak ada tanda-tanda bahawa makanan berkenaan telah dibuka orang lain yang memungkinkan pencemaran berlaku.

"Masalah ini mampu menjejaskan prestasi atlet bertanding, jadi kita menasihatkan agar atlet tidak makan di tempat sebarangan melainkan makanan yang dibekalkan dalam perkampungan sukan," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai wabak norovirus, beliau memberitahu, pegawai-pegawai ISN yang dihantar bertugas di Glasgow telah pun mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak atlet negara menjadi mangsa wabak tersebut.

"Saya sudah dimaklumkan oleh pegawai ISN yang berada di Glasgow bahawa mereka menyedari mengenai isu itu. Saya sendiri sebenarnya tak jelas norovirus ini berpunca daripada faktor apa tetapi kalau cirit-birit yang menimpa pesakit, biasanya tanda-tanda seperti ini berkait rapat dengan makanan yang terdedah atau pun tercemar," tegasnya.

Sementara itu Ketua Kontinjen Sukan Komanwel negara, Datuk Ong Poh Eng memberi jaminan, keadaan dalam Perkampungan Atlet adalah terkawal biarpun diselubungi kebimbangan mengenai norovirus.

"Semua terkawal, tiada atlet yang dijangkiti virus berkenaan dan sehingga kini keadaan baik-baik saja," katanya.


Oleh AIZAWATI AHMAD
aizawati.ahmad@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment