Wednesday, July 2, 2014

Chong Wei optimis skuad Badminton mampu mengulangi kejayaan pada Sukan Komanwel


KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei optimis skuad badminton negara mampu mengulangi kejayaan cemerlang pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 23 Julai-3 Ogos ini.

Chong Wei berkata skuad negara perlu mempamerkan aksi kompetetif walaupun menyedari pasukan badminton tidak berdepan masalah untuk bersaing dengan negara- negara Komanwel yang lain.

"Empat tahun lepas di New Delhi, pasukan negara meraih keputusan terbaik, jadi saya harap pada kali ini skuad negara mampu meraih lebih banyak pingat emas kepada negara.

"Saya lihat prestasi beregu campuran dan beregu lelaki semakin kuat, mereka berpeluang untuk meraih pingat begitu juga dengan pemain perseorangan wanita negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kafe Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN) di sini Selasa malam.

Terdahulu skuad Piala Thomas negara menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) RM8,000 setiap seorang yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Selain Chong Wei turut menerima insentif tersebut ialah Chong Wei Feng, Liew Daren, Goh Soon Huat, Tan Boon Heong, Hoon Thien How, Tan Wee Kiong, Goh V Shem, Lim Khim Wah dan Chan Peng Soon.

Untuk rekod, skuad negara meraih empat pingat emas dan satu pingat perak pada Sukan Komanwel empat tahun lepas di New Delhi, India.

Chong Wei yang merupakan pemain badminton nombor satu negara dijadual menyertai Kejohanan Dunia di Denmark pada 25-31 Ogos ini sebelum menyertai Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 19 Sept-4 Okt.

Katanya jadual padat sepanjang tahun ini merupakan cabaran besar yang perlu diharungi supaya lebih konsisten untuk meraih keputusan yang baik dan cemerlang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment