Thursday, July 24, 2014

Buruan Pingat Emas Kontinjen Negara Bermula Esok


GLASGOW, 23 Julai (Bernama) -- Pemburuan pingat oleh kontinjen negara bagi Sukan Komanwel di sini akan bermula secara rasmi esok.

Upacara perasmian temasya sukan yang melibatkan 6,500 atlet dari 71 buah negara itu akan diadakan di Celtic Park bermula pada pukul 8 malam waktu tempatan (kira-kira pukul 3 pagi waktu Malaysia).

Edisi yang ke-20 ini adalah yang ketiga dianjurkan oleh Scotland selepas dua kali diadakan di Edinburgh pada 1970 dan 1986.

Sepanjang penyertaan Malaysia dalam temasya Sukan Komanwel sejak 1950, kontinjen negara meraih dua pingat emas di Victoria, Kanada pada 1994; 10 emas di Kuala Lumpur (1998), tujuh emas di Manchester, England (2002) dan Melbourne, Australia (2006) serta pencapaian terbaik iaitu 12 emas, di New Delhi, India (2010).

Pada temasya kali ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan sasaran tujuh pingat emas, jauh lebih rendah daripada pencapaian di New Delhi dengan 12 pingat emas.

Bagaimanapun, jumlah sasaran itu dipersetujui Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Majlis Sukan Negara (MSN) disifatkan sebagai realistik berdasarkan situasi semasa dan pengguguran beberapa acara kegemaran Malaysia oleh negara penganjur.

Untuk edisi kali ini, kontinjen negara diwakili 269 orang atlet dan pegawai.

Daripada sejumlah 179 orang atlet, 135 daripadanya adalah atlet elit, lima atlet pelapis, 30 atlet luar program Majlis Sukan Negara dan sembilan atlet paralimpik.

Malaysia hanya akan menyertai 14 daripda 17 jenis sukan yang merangkumi 130 acara iaitu 67 acara lelaki, 55 acara wanita serta lapan acara sukan para.

Acara sukan yang akan disertai Malaysia ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal, boling padang, gimnastik (artistik dan berirama), hoki, judo, menembak, olahraga, ping-pong, ragbi, skuasy dan tinju.

Untuk makluman, kejayaan merangkul pingat oleh atlet-atlet kelainan upaya juga akan dikira dalam jumlah kedudukan pingat negara.

Pencapaian terbaik atlet paralimpik negara dalam temasya Sukan Komanwel ialah dengan merangkul satu perak dan tiga gangsa pada edisi 2002 di Manchester.

Pada tahun ini, sejumlah lima acara sukan menawarkan 22 pingat kepada atlet paralimpik dan ia merupakan jumlah tertinggi setakat ini.

Antara fakta menarik untuk edisi Sukan Komanwel kali ini ialah pingat emas ke-3,000 akan dianugerahkan pada temasya kali ini sejak ia diperkenalkan buat kali pertama pada 1930.

Sementara itu maskot Sukan Komanwel Glasgow, Clyde, bukanlah sejenis haiwan sepertimana temasya-temasya sukan terdahulu tetapi sebaliknya ia adalah pokok bunga Thistle yang menjadi lambang Scotland dan nama Clyde pula diinspirasikan daripada nama sungai yang mengalir di sekitar Glasgow.



Daripada Farhanah Azmi  -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment