Saturday, July 5, 2014

Atlet beragama Islam ke Sukan Komanwel 2014 perlu tunai kewajipan berpuasa

Atlet beragama Islam dinasihatkan untuk tidak meninggalkan kewajipan berpuasa walaupun bakal menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, bermula 23 Julai ini.
Beberapa pakar rujuk agama mengganggap rukun Islam ketiga berkenaan wajib dilaksanakan oleh atlet negara selagi mereka mampu dan tidak sewenang-wenangnya berbuka atas alasan bermusafir.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata setiap umat Islam wajib menunaikan ibadat puasa kerana ia adalah bekalan bagi mereka apabila meninggal dunia nanti.
"Jadi tidak ada alasan bagi setiap orang Islam untuk berbuka puasa walaupun mereka sedang bermusafir atau bersukan kerana perkara yang harus tidak boleh mengatasi perkara yang wajib atau fardhu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata bermusafir atau melakukan aktiviti sukan adalah harus manakala ibadat puasa merupakan ibadat wajib yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam.
Tamyes menjelaskan walaupun mereka menggunakan alasan uzur (tidak berupaya untuk meneruskan puasa atas sebab kesihatan dan perkara yang dibolehkan oleh syarak), individu berkenaan wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan mereka.
Berkongsi pendapat yang sama ialah Datuk Dr Abu Hassan Din Al Hafiz yang menyatakan orang Islam diwajibkan berpuasa kecuali atas sebab-sebab tertentu yang diharuskan oleh syarak untuk mereka berbuka seperti bermusafir dan sebagainya.
Mengambil contoh atlet beragama Islam pada Sukan Komanwel nanti, bekas Imam Besar Masjid Negara itu berkata mereka tidak boleh digolongkan sebagai golongan musafir kerana mereka tinggal lebih daripada tiga hari di satu tempat dan bukannya berpindah randah.
"Mereka yang diharuskan berbuka puasa atas sebab bermusafir perlu mematuhi syarat-syarat bermusafir antaranya tidak bermukim, bermusafir bukan atas tujuan untuk melakukan maksiat dan sebagainya," jelas Dr Abu Hassan.
Beliau berkata mana-mana atlet yang memilih untuk tidak berpuasa, mereka perlu membayar balik puasa berkenaan.
Berbeza pula dengan pandangan pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang berpendapat, atlet yang beraksi pada Sukan Komanwel diharuskan tidak berpuasa atas sebab bermusafir dan mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa.
Katanya, Allah S.W.T memberi kemudahan kepada hambanya, namun mereka perlu menqadakan puasa tersebut sama banyak dengan jumlah hari mereka meninggalkan ibadat puasa.
"Atlet dibolehkan memilih untuk tidak berpuasa walaupun sebulan selagi mereka bermusafir, namun mereka perlu menunaikan solat fardu lima waktu sehari seperti biasa," katanya.
Menyokong pandangan beliau ialah Ketua Hal Ehwal Islam, Majlis Sukan Negara (MSN), Mohammad Hasnol A.Bakar yang berpendapat bahawa atlet negara yang beragama Islam mempunyai dua pilihan sama ada berpuasa ataupun tidak.
"Sekiranya mereka memilih untuk berpuasa itu adalah yang terbaik namun jika tidak berpuasa atas sebab bermusafir namun mereka perlu mengantikan puasa selepas itu," katanya.
Mohammad Hasnol berkata pihaknya akan memberikan taklimat terperinci kepada atlet negara mengenai ibadat berpuasa sebelum mereka bertolak ke Scotland nanti.


 
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment